Sunday, June 13, 2021

Kerana mulut badan binasa

Mesti baca

DATUK SERI Tajuddin Abdul Rahman, 73, bukan asing dengan kontroversi dan provokasi. Ahli politik veteran dari Perak ini sering mencetuskan provokasi dan mengeluarkan kenyataan keras terutama terhadap pembangkang di Parlimen.

Tajuddin pernah dipecat dari Umno susulan dakwaan terbabit dalam politik wang untuk menjadi Ketua Bahagian sehingga digelar “Six Million Dollar Man”. Beliau turut didakwa terbabit dalam salah guna kuasa berkaitan pembinaan Universiti Teknologi Mara.

Pada 2008, beliau menyifatkan seorang Ahli Parlimen sebagai ‘bastard’ dan ‘bloody bastard’ selepas Ahli Parlimen berkenaan mendakwa Tajuddin dibenci oleh pengundi India di Pasir Salak.

Sekali lagi pada 2013, beliau mencetuskan kontroversi apabila mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, bahawa adalah normal untuk membeli beg mewah dan mahal.

Ketika Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menggelarkan beliau sebagai ‘ menteri sial’ beberapa kali terhadap Tajuddin, sekumpulan penyokong dari Pasir Salak, termasuk anaknya memasuki kawasan Parlimen untuk menyerang Khalid.

Beberapa hari lalu Pengerusi Prasarana Berhad (Prasarana) yang sudah pun dipecat itu melakukan malapetaka dari segi perhubungan awam ketika mengendalikan sidang media berkaitan satu nahas terburuk dalam sejarah kemalangan LRT yang mengakibatkan 213 penumpang cedera, termasuk enam kritikal.

Tajuddin ditamatkan perkhidmatan yang daripada memimpin konglomerat pengangkutan awam milik Kementerian Kewangan itu selepas berkhidmat selama kira-kira setahun.
Pada sidang media itu seorang wartawan asing bertanya kepada Tajuddin mengenai langkah-langkah yang diambil bagi memastikan penumpang yang terlibat selamat daripada jangkitan Covid-19.

Tajuddin menjawab dengan mengatakan wartawan tidak boleh membuat andaian, dan kemudian bertanya dari mana mana wartawan itu datang.

Apabila dijawab wartawan Phoenix TV tersebut, Tajuddin mengatakan: “China…tak hairanlah.” Sebelum itu, ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai situasi di bawah terowong LRT berkenaan, Tajuddin berkata “normal … hanya dua tren bersama, saling bercium …”, dan kemudian ketawa kecil. Malah, yang tidak kurang memalukan ialah beliau tidak cekap dalam penggunaan bahasa, baik bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.

Tajuddin tergagap-gagap, kelihatan tidak bersedia, dan terpinga-pinga kerana tidak mengetahui angka, fakta dan maklumat asas berkaitan nahas itu sehingga terpaksa merujuk kepada pegawai Prasarana berkali-kali.

Respons Tajuddin ketika mengendalikan sidang media dilihat sebagai sangat memalukan, tidak profesional dan tidak beretika. Wartawan yang bertanya dianggap seolah-olah musuh politik beliau. Adakah itu dilakukan kerana beliau memang tidak bersedia dan tidak mampu memberi jawapan, kerana tidak menguasai fakta dan data?

Jadi jalan terbaik untuk menutup kelemahan diri adalah dengan menyerang balik wartawan yang bertanya. Lebih aneh beliau mengungkapkan, tidak mahu diprovokasi seolah-olah soalan wartawan ialah satu provokasi, sedangkan ia bukan provokasi tetapi soalan penting untuk mendapatkan penjelasan bagaimana dan mengapa kemalangan itu berlaku.
Tajuddin tidak seharusnya berharap untuk mendapat soalan mudah, sebaliknya bersedia menjawab soalan sukar.

Cara Tajuddin menggambarkan nahas itu sebagai ‘dua tren bercium’ sambil ketawa sinis turut membangkitkan kemarahan rakyat yang dianggap tidak sensitif, dan tiada empati terhadap tragedi menimpa mangsa.

Kalau diberi gred, sidang media kendalian beliau layak mendapat markah F.
Berikutan tindakannya itu, pengguna media sosial mewujudkan satu petisyen menuntut agar Ahli Parlimen tiga penggal yang pernah menjadi timbalan menteri itu dipecat. Petisyen dalam talian yang menuntut pengundurannya memperoleh lebih daripada 130,000 tandatangan dalam beberapa jam saja.

Tajuddin tidak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Sidang media itu bukan sahaja menggambarkan beliau tidak layak menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan terkemuka (GLC) itu, tetapi memberi imej dan reputasi buruk terhadap ahli politik dan kerajaan.

Tidak hairanlah banyak pihak menggesa agar beliau dipecat. Meskipun menyifatkan penyingkirannya dari jawatan tersebut sebagai bukan masalah mendesak atau sesuatu yang membimbangkan, namun yang pasti, episod itu pasti akan menghantuinya sepanjang hayat.

Selepas dipecat, beliau berkata ini bukan masa untuk bermain politik, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada kehidupan orang ramai yang terkesan oleh pandemik Covid-19.
Dari segi perhubungan awam, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan profesional dan penuh empati serta maklumat.

Sebaliknya, sebagai pengerusi beliau jelas tidak bersedia, tergagap-gagap, tidak yakin dan bersikap biadab atau tidak menghormati wartawan media. Orang ramai tidak dapat menerima lawak bodoh Tajuddin.

Yang lebih malang lagi, netizen turut mengecam penampilan Tajuddin yang hanya memakai pelindung muka tanpa pelitup muka seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) — satu kesalahan yang mesti dihukum jika benar kerajaan tidak mengamalkan pilih kasih.

Sepatutnya Tajuddin menggunakan peluang tampil di hadapan media untuk menjadi jurucakap yang bersopan santun serta mampu menjawab setiap soalan dengan baik dan bijaksana. Di sinilah letaknya watak dan kualiti sebenarnya pemimpin politik dan GLC. Tentu kejadian ini dapat membuka mata kepada semua pemimpin, termasuk pemimpin politik.

Daripada episod ini, Tajuddin tentu lebih faham akan maksud peribahasa terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya. Ia tentu mengundang seribu kekesalan terhadap beliau.

Segala-galanya sudah terlambat. Terlajak kata dalam sidang media itu yang dirakamkan melalui video yang disebarkan melalui pelbagai platform tentunya menjadi igauan yang amat mengerikan.

Sidang media memang tempat untuk membina imej dan reputasi, tetapi tersalah langkah ia dapat memakan diri seperti yang terjadi kepada Tajuddin.

Natijah ketelanjuran itu telah berjaya meremukkan banyak hati dan perasaan khalayak, terutama mangsa yang terbabit. Lagi parah jika remuk itu bertukar menjadi amarah dan dendam. Banyak pihak kecewa dan marah dengan beliau.

Sensitiviti, empati dan simpati di pihak tokoh yang tampil di sidang media perlu diperagakan. Tokoh juga perlu melengkapkan diri dengan fakta, data dan maklumat yang lengkap agar tidak dipersepsi tidak bersedia, tidak cekap atau bodoh.

Pilihan yang ada bagi pesalah adalah setulus hati memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku. Jadi, Tajuddin sepatutnya segera memperbetulkan keadaan keesokannya bagi memulihkan luka yang tercalar dan hati yang terguris walaupun itu tidak semestinya akan mengubah keadaan. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Tajuddin kini perlu menelan pil pahit daripada episod bikinannya sendiri.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru