Sunday, June 13, 2021

Inisiatif bantu ringankan beban rakyat Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperkenalkan sembilan langkah pembayaran tunai menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.

“Langkah pertama ialah insentif untuk Ketua Isi Rumah (KIR) b40 dan individu bujang B40 berumur 21 tahun ke

“Setiap KIR B40 Sarawak akan menerima pembayaran tunai sebanyak RM250 sebulan untuk tempoh enam bulan mulai 31 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.

“Manakala individu bujang B40 Sarawak yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima pembayaran tunai berjumlah RM500 secara one-off atau sekali sahaja mulai 31 Ogos 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai BKSS 6.0 yang bertemakan meringankan beban rakyat di sini semalam.

Kata Abang Johari senarai penerima bantuan adalah berdasarkan pada semua data penerima BKSS B40 sebelum ini termasuk senarai penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021.

“Pembayaran akan dimasukkan ke akaun bank masing-masing atau yang tidak mempunyai akaun bank boleh menuntut dari mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional.

“Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM970 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih dari 1.0 juta penerima,” katanya.

Menurutnya, langkah kedua ialah pemberian elaun bulanan khas petugas barisan hadapan yang menangani pandemik Covid-19 di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak juga amat menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pandemik Covid-19 dan terdedah kepada risiko jangkitan semasa menjalankan tugas di Sarawak.

“Dalam hal ini, saya telah bersetuju supaya elaun bulanan khas kepada petugas barisan hadapan untuk enam bulan iaitu RM300 kepada anggota kesihatan merangkumi doktor perubatan, jururawat dan kakitangan perubatan yang bertungkus lumus bertugas di hospital, klinik dan pusat-pusat kuarantin di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Kedua katanya, RM200 kepada pegawai dan kakitangan imigresen yang bertugas di pos-pos kawalan sempadan di seluruh Sarawak.

Ketiga RM200 kepada kakitangan PDRM dan Bilik Gerakan Negeri yang bertugas setiap masa untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Keempat RM200 kepada Angkatan Tentera Malaysia yang menjaga sempadan dan membantu mengekalkan ketenteraman awam.

Kelima RM200 kepada anggota-anggota RELA yang bertugas membantu kawalan keselamatan dan ketenteraman awam.

Keenam RM200 kepada anggota-anggota Kastam DiRaja Malaysia yang menjalankan tugas di semua pintu masuk sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh Sarawak.

Ketujuh RM200 kepada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membantu melaksanakan tugas perkhidmatan kecemasan, kerja-kerja pemeriksaan dan sanitasi di seluruh Sarawak;

Kelapan RM200 kepada anggota BOMBA dan Penyelamat dalam menjalankan perkhidmatan kecemasan dan kerja-kerja sanitasi, khususnya di kawasan berisiko tinggi serta kesembilan RM200 kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu pihak PDRM dan ATM dalam memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi sepenuhnya.

Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak akan membelanjakan lebih daripada RM27 juta untuk membayar Elaun Bulanan Khas ini.

Secara Rawak

Artikel Terbaru