Sunday, June 13, 2021

Diskaun 25% cukai pintu mulai Julai di Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi diskaun sebanyak 25 peratus untuk taksiran Kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 dan ke bawah untuk premis kediaman, komersil, industri dan premis pegangan khas mulai Julai hingga Disember 2021.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini akan memberi manfaat kepada 185,000 premis di Pihak Berkuasa Tempatan dan sekali gus meringankan beban rakyat dan peniaga di Sarawak.

“Keseluruhan kos diskaun dianggarkan berjumlah RM54.0 juta ini akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

“Kita juga memberi diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk peniaga dan penjaja akan diteruskan bagi bulan Julai hingga Disember 2021,” katanya pada sidang media mengenai BKSS 6.0 yang bertemakan meringankan beban rakyat di sini semalam.

Tambah Abang Johari, bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah PBT dengan keseluruhan diskaun berjumlah RM1.7 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

“Kita juga memberi diskaun 50 peratus kepada sewa Skim Perumahan HDC akan diteruskan bagi bulan Julai hingga Disember 2021.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 penyewa Skim Perumahan HDC di seluruh Sarawak denhan kos keseluruhan diskaun ini dianggarkan melebihi RM2.6 juta,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Sarawak akan meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik Badan-Badan Berkanun dan syarikat-syarikat GLC Negeri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi tempoh 6 bulan lagi iaitu Julai hingga Disember 2021.

“Pengecualian bayaran sewa ini akan melibatkan kos sebanyak RM2.0 juta kepada Kerajaan Sarawak.

“Bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, tindakan Perintah Kawalan yang ketat di sesuatu kawasan perlu dikuatkuasakan.

“Untuk memastikan kebajikan penduduk dari segi akses bekalan makanan asas, Kerajaan Sarawak  akan melaksanakan program Bakul Makanan kepada isi rumaj yang terjejas di seluruh Sarawak,” tegasnya.

Tambahnya, Peruntukan sebanyak RM250,000 akan diagihkan mengikut kawasan DUN masing-masing yang akan diuruskan oleh agensi Kerajaan Sarawak.

Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM25.5 juta bagi melaksanakan langkah ini termasuk kos pengangkutan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan BKSS 6.0, terdapat 11 langkah dalam pakej BKSS 5.0 yang masih dalam pelaksanaan, akan turut memberi manfaat kepada rakyat Sarawak iaitu diskaun 30 peratus cukai tanah, penangguhan pembayaran premium tanah, pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan dan sebagainya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru