Sunday, June 13, 2021

Bot nelayan Vietnam bawa 10 tan ikan dikejar sejam

Mesti baca

BINTULU: Dua bot dinaiki seramai 25 nelayan warga Vietnam ditahan selepas disyaki menceroboh perairan negara sekitar jam 9 pagi, pada Khamis.

Kedua-dua bot terbabit dikesan pada jarak kira-kira 87 batu nautika dari Barat Laut Kemena oleh aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Bintulu sebelum diarahkan berhenti untuk diperiksa lanjut.

Menurut Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil mengesahkan ketika kejadian pihak operasi mengambil masa hampir satu jam untuk mengejar bot tersebut sebelum berjaya merapat dan menahan kedua-duanya.

Dedahnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Manakala 25 kru termasuk dua tekong warga Vietnam berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut dirampas, hasil tangkapan iaitu sekitar 10 tan metrik ikan campur, peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Jelas Effendy kesemua nelayan warga asing termasuk tekong dan barangan yang dirampas dibawa dua bot ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Effendy dalam pada itu turut mengesahkan kesemua kru diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebaik tiba di jeti.

Secara Rawak

Artikel Terbaru