Sunday, June 13, 2021

Sayangnya hari ini dunia dicirikan pemimpin tamak, korup, utamakan diri

Mesti baca

Baru-baru ini, saya telah membuat kajian berkaitan kepimpinan. Amat mengejutkan, bila mengetahui setiap tahun lebih kurang 4.8 billion buku berkisar subjek kepimpinan telah ditulis.

Perkara pertama yang terlintas di fikiran, berapa juta agaknya pokok telah dikorbankan untuk menghasilkan buku sebanyak itu? Keduanya, tajuk yang dipilih pastinya sangat penting, kenaifan pengetahuan mengenainya amat terasa.

Tidak mustahil ia menjadi punca mengapa penulisan yang berkisar tentang kepimpinan tiada penghujungnya – umpama deruan suara yang berkumandang di belantara?

Terakhir, pasti ada pasarana untuk buku sedemikian walaupun dalam benak saya terfikir siapakah yang membacanya atau siapakah yang membelinya?

Dengan melimpahnya jumlah penulisan mengenai kepimpinan, seharusnya tidak ada alasan untuk kita mengatakan kita tidak mempunyai sumber yang cukup untuk mengetahui erti kepimpinan.

Ia seolah-olah menjadi satu ledakan nasihat namun tiada seorang pun yang membaca mahupun mendengarnya.

Ternyata, ia memberi ruang untuk seseorang membuat andaian bahawa dalam kehidupan seharian, amat sedikit nilai kepimpinan ditemui, dirasai terutamanya ketika ia amat diperlukan.

Sebaliknya, saya bertekad untuk membuat pendekatan yang berbeza. Antaranya, saya bertanya pada kawan-kawan, apakah yang terlintas di minda mereka erti sebuah kepimpinan.

Merenung jauh pada perihal ini, saya mula tertanya-tanya akan persoalan paling dasar iaitu apakah erti kepimpinan?

Sepanjang berkecimpung dalam dunia korporat, saya telah banyak membaca buku-buku yang menyentuh tentang kepimpinan. Kini, saya tidak lagi berhasrat untuk terus membaca buku -buku sedemikian.

Saya berjaya melakukan menerusi kaji selidik secara informal.

Kajian tersebut melibatkan khalayak dari pelbagai peringkat. Ia termasuklah ‘A Global Fortune 100 CEO’, golongan professional, pemuzik, penyair, ahli perniagaan, ahli politik, rakyat biasa, pemegang PhD, para ilmuan, Pengurus Dana, ahli perniagaan, pembina kapal, akauntan bertauliah, Kapten kapal dan sebagainya lagi.

Dari kajian tersebut, saya dapati, sebuah kepimpinan yang diinginkan dari seorang pemimpin, antaranya ialah;

Berintegriti, penuh belas kasihan, jujur, amanah, penuh kayakinan, berwawasan, rendah diri, berani, bertolenrasi,pengasih,penyayang, memberi inspirasi, berstrategi, sentiasa melakukan perkara yang betul, siapsiaga berkorban, tidak mementingkan diri dan lain-lain lagi.

Kesemua sifat yang mulia ini perlu diteladani kerana ia menekankan bahawa kuasa, darjat, pangkat, wibawa tidak memadai untuk menjadikan seseorang itu sebagai pemimpin.

Kini, khalayak mencari dan memerlukan seorang pemimpin yang mereka boleh di percayai, boleh disandarkan harapan dan mampu memberi nilai tambah yang bermakna dalam kehidupan mereka.

Khalayak tidak memerlukan pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan penuh agenda politik.

Mereka memerlukan seorang pemimpin yang boleh berkongsi perkara yang sama, naluri yang menuju satu arah yang sama.

Dalam erti kata lain, khalayak tidak terlalu kisah tentang tahap pengetahuan pemimpin, sebaliknya, mereka amat kisah setakat mana pemimpin betul-betul mengambil berat tentang mereka.

Saya percaya, itulah erti ketulusan. Ketelusan antara seorang pemimpin dengan pengikutnya.

Katanya, hanya pemimpin yang mempunyai lahiriah sedemikian, mampu memperagakan semua sifat yang mulia sepertimana yang telah saya ulaskan pada awal tadi.

Seorang sahabat saya dari Singapura, mengatakan, kita memerlukan pemimpin yang sanggup menghambakan dirinya. Dengan adanya sifat sedemikian, maka ia dapat melahirkan seorang pemimpin yang baik.

Salah seorang bekas ketua saya pula berkata, dua sifat paling utama perlu dimiliki oleh seorang pemimpin yang ketika ini semakin pudar adalah integriti dan empati.

Kita boleh lihat di pesada dunia hari ini, kebanyakan pemimpin, terutamanya pemimpin politik, mereka akan berbuat apa sahaja, asalkan kuasa politik mereka tidak hilang dan musnah.

Kedudukan, pangkat dan kuasa membuat mereka menjadi buta hati dan tidak mempeduli amanah yang sepatutnya mereka ketengahkan.

Ini menyebabkan mereka mementingkan diri sendiri. Empati bermaksud seorang pemimpin bersedia untuk bergandingan, beriringan dengan mereka yang berdamping dengannya. Empati bukan bermaksud simpati.

Peranan utamanya adalah untuk memberi tunjuk ajar,mencetus semangat, memberi motivasi kepada mereka yang sangat memerlukan.

Di mata saya, Angela Merkel memiliki sifat murni ini.

Ia terserlah dalam kehidupan harian dan dalam karier beliau sebagai seorang Chancellor. Beliau tidak pernah menyalahguna kuasa sepanjang hayat kariernya.

Kehidupan yang serba sederhana dan penuh berintegriti tidak pernah membuat beliau tersasar.

Ia sangat jauh berbeza jika kita bandingkan dengan setengah pemimpin politik di Afrika dan benua lain yang penuh dengan korupsi.

Seorang kawan saya dari Brunei yang bergelar Pehin berkata; seorang pemimpin hendaklah penuh etika. Ia perlu berlandaskan keadilan, berpegang pada prinsip agama ‘hak dan Bathil’, memiliki nilai peribadi murni. Kesemuanya amat penting untuk dimiliki oleh seorang pemimpin.

Sayangnya, dalam dunia hari ini, kepimpinan lebih banyak bercirikan ketamakan, korupsi, pembohongan dan penuh kepentingan diri.

Banyak pandangan dan pendapat dilempar. Walau bagaimanapun, amat jelas kesemuanya berpandangan ke arah yang sama dan sinonim.

Kesimpulannya, kita mendambakan seorang pemimpin yang berwibawa, mengutamakan kebajikan khalayak yang dipimpinnya.

Seorang pemimpin yang boleh dipercayai dan dia akan kekal mempertahankan kepercayaan yang telah diamanah kepada nya dalam apa jua keadaan sekalipun.

Mungkin, itulah kemuliaan seorang pemimpin yang sanggup menghambakan dirinya, pautan yang hilang dalam dunia sebuah kepimpinan atau dalam sebuah pembentukan organisasi!

Sebuah sumbangan oleh;

M Medan Abdullah @ Maya Green

Shah Alam, Selangor DE

Secara Rawak

Artikel Terbaru