Thursday, December 9, 2021

Yayasan Sarawak sambut ulang tahun ke-50 

Secara Rawak

KUCHING: Selama 50 tahun penubuhan Yayasan Sarawak di bawah Ordinan Yayasan Sarawak yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 27 Mei 1971 bagi membuka jalan untuk era baru dalam pembangunan pendidikan di Sarawak, pelbagai jenis khidmat pendidikan dalam bentuk biasiswa termasuk pinjaman telah dimanfaatkan ribuan rakyat Sarawak.

Yayasan Sarawak memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan di negeri ini sejajar dengan hasrat untuk mencapai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terus menyuntik idea dan memperkenalkan dasar baru untuk memperluaskan peranan Yayasan Sarawak.

Ianya telah berkembang menjadi organisasi yang penting dalam sektor ekonomi seperti sektor penerbangan, petroleum, kewangan, perhotelan, pertanian, pelabuhan, pengurusan hartanah, pembangunan projek, institusi latihan kemahiran, pembangunan institusi latihan, telekomunikasi dan juga operasi penanaman hutan.

Selain itu, Yayasan Sarawak telah membelanjakan lebih dari RM260 juta untuk skim dan program untuk pendidikan rendah.

Manakala bagi pinjaman pendidikan setakat 2020, seramai 136,314 orang rakyat Sarawak melanjutkan pelajaran sama ada ke peringkat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana, PhD atau profesional yang menelan belanja lebih RM420 juta bagi skim pinjaman pendidikan tempatan dan luar negara.

Antara biasiswa yang diwujudkan adalah seperti Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib dan Program Biasiswa Ijazah Perubatan.

Selain itu, Yayasan Sarawak menubuhkan Skim Pinjaman Pendidikan Teknikal bagi yang berminat untuk mengikuti latihan teknikal dan lebih 11,000 orang telah mendapat manfaat daripada skim tersebut sejak 2001.

Selain biasiswa dan pinjaman, Yayasan Sarawak juga menjalankan program dan aktiviti untuk mempromosikan pendidikan secara umum dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan, Universiti, Sekolah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

Program melalui kerjasama tersebut adalah seperti Sekolah Luar Bandar Berprestasi Tinggi (HIPERS), Program Penguasaan Bahasa Inggeris, Bantuan Seragam Sekolah, Bantuan Buku Sekolah, Program Bantuan Komputer, Program Pembangunan Komuniti, Pameran Pendidikan dan banyak lagi.

Yayasan Sarawak juga terlibat dalam memberikan bantuan melalui Program Graduan Pulang Sarawak (i-GPS), Program Bas Sekolah Percuma, ‘Books for Asia by the Asia Foundation’, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan, Anugerah Khas Ketua Menteri, geran penulis tempatan, geran bencana , geran aktiviti pelajar termasuk geran operasi untuk anak syarikat dan lain-lain.

Sehubungan itu, perbelanjaan bagi program, aktiviti dan geran tersebut melangkaui RM1 billion.

Kerajaan negeri melabur lebih kepada kemudahan pendidikan melalui Yayasan Sarawak seperti menubuhkan Universiti Teknologi Curtin Malaysia di Miri dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di Kuching.

Selain itu, Pusat Kecemerlangan Teknikal atau CENTEXS ditubuhkan sebagai anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak untuk memberikan latihan teknikal bagi rakyat Sarawak dan penubuhan Akademi Digital di CENTEXSnow sejajar dengan inisiatif ekonomi digital kerajaan.

Melalui Yayasan Sarawak juga, penubuhan Sekolah Antarabangsa iaitu YS International Education Sdn. Bhd. adalah pemacu utama Sekolah Antarabangsa di Sarawak dan pengambilan pertama dirancang untuk tahun 2022.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru