Sunday, June 13, 2021

Cubaan tiga tekong seludup 5 Pati ke Sarawak dipatah

Mesti baca

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya menggagalkan cubaan tiga tekong warga tempatan untuk menyeludup masuk lima pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata kesemua mereka ditangkap dalam dua Operasi Benteng Covid-19 berasingan pada 23 dan 24 Mei lalu.

Katanya tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang membawa dua lelaki warga Indonesia, hasil penahanan ke atas sebuah kenderaan di Kampung Hulu, Jalan Kuching-Serian kira-kira jam 11 pagi.

“Siasatan awal mendapati Pati terbabit masuk ke Sarawak melalui jalan tikus di sekitar Kampung Mujat, Kampung Daha dan Tebedu yang kemudiannya akan diambil oleh suspek tempatan yang menunggu di sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, Mancha berkata tangkapan kedua melibatkan dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia, hasil penahanan ke atas sebuah kenderaan di bangunan pusat komersial Siburan kira-kira jam 2 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Pati terbabit masuk ke Sarawak melalui jalan tikus dan kemudian mereka akan diambil oleh suspek tempatan yang menunggu di bangunan pusat komersial Siburan.

Justeru, katanya kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Mancha, sepanjang Operasi Benteng Covid-19 bermula 1 Januari hingga 27 Mei tahun ini, PGA Briged Sarawak telah merekodkan sebanyak 110 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 171 orang yang terdiri daripada 36 lelaki tempatan, 109 lelaki dan 26 wanita Indonesia.

Selain itu turut mengusir seramai 296 orang yang terdiri daripada 256 lelaki dan 40 wanita warga Indonesia.

“Berdasarkan kepada situasi semasa, masih terdapat lagi cubaan Pati dari negara jiran yang cuba masuk ke Sarawak menggunakan jalan tikus.

“Individu-individu yang tidak bertanggungjawab juga masih lagi mencuba untuk membawa masuk Pati ke Sarawak secara haram,” katanya.

Justeru, Mancha memohon kerjasama daripada penduduk setempat yang tinggal di kawasan sempadan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kemasukan dan kebocoran Pati ke negeri ini kepada pihak berkuasa yang berhampiran.

Beliau juga berharap agar penduduk setempat tidak bersekongkol dengan individu tertentu yang menjalankan kegiatan penyeludupan Pati.

Secara Rawak

Artikel Terbaru