Sunday, June 13, 2021

Dua penganggur positif dadah ditangkap

Mesti baca

BAU: Dua penganggur lelaki positif dadah Methamphetamine ditangkap di sebuah rumah dekat Kampung Serikin, di sini semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 30 tahun dicekup hasil serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata suspek disahkan positif dadah selepas dibawa ke pejabat Bahagian Narkotik Bau menerusi hasil ujian saringan air awal kencing.

Menurutnya pemeriksaan awal di rumah serbuan bagaimanapun tidak menemui sebarang dadah berbahaya.

“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan diperintahkan menjalani pengawasan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.

Manakala dalam serbuan sebuah rumah berasingan di lokasi sama katanya, dua lagi lelaki tidak dikenali bertindak melarikan diri selepas sedar akan kehadiran polis.

“Ketika serbuan dilakukan di rumah terbabit pasukan operasi mendapati dua individu lelaki kelihatan melarikan diri dengan memecut ke arah belakang rumah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua buah motosikal masing-masing dengan kuncinya dipercayai milik kedua-dua individu tersebut,” tambahnya.

Ujarnya, kedua-dua motosikal jenis Skuter dan Yamaha LC 135 itu ditahan untuk siasatan kes.

Secara Rawak

Artikel Terbaru