Sunday, June 13, 2021

Agong: Kerajaan Sarawak terus berfungsi seperti biasa

Mesti baca

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Kerajaan Negeri Sarawak agar terus berfungsi seperti biasa walaupun tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu tamat  6 Jun ini.

Titah Baginda, Kerajaan Negeri Sarawak itu boleh terus berfungsi seperti biasa sepanjang tempoh darurat yang diperkenankan baginda melalui pengisytiharan yang berkuat kuasa 11 Jan lepas hingga 1 Ogos ini.

“Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah menasihati memandang kepada keadaan Covid-19 yang agak membimbangkan agar Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Baginda bertitah demikian ketika upacara mengadap secara maya  oleh para pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi memaklumkan baginda mengenai tempoh DUN Sarawak dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

Sesi mengadap itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri II Tan Sri Dr. James Jemut Masing, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing

Abang Johari  berkata, beliau memaklumkan baginda bahawa tempoh DUN Sarawak adalah sehingga 6 Jun ini dan mengikut Perlembagaan Negeri itu, DUN haruslah dibubar dan pilihan raya perlu diadakan.

Menurut kenyataan itu, berikutan pengisytiharan darurat bermula 11 Jan lepas, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama TYT (Yang Dipertua) Negeri Sarawak,” tambahnya.

Kini tercetus teka-teki dalam kalangan rakyat bila PRN-12 akan diadakan di sebalik peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Semalam Sarawak merekodkan 513 kes jangkitan dalam tempoh 24 jam dengan enam kematian.

Secara Rawak

Artikel Terbaru