Sunday, June 13, 2021

Tiga tekong darat bawa masuk 18 Pati ke Sarawak ditahan

Mesti baca

LUNDU: Tiga tekong darat ditahan ketika cuba membawa masuk 18 pendatang asing tanpa izin(PATI) menerusi kawasan Kandaie yang terletak kira-kira dua kilometer di sempadan Indonesia-Malaysia, semalam.

Kesemua suspek gagal melarikan diri setelah diserbu oleh Pasukan serang dan tangkap (SERKAP) Angkatan Tentera Malaysia sekitar jam 5.30 petang.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen menerusi kenyataan mengesahkan penahanan melibatkan tiga tekong iaitu dua lelaki dan seorang wanita manakala Pati terdiri daripada seorang 17 lelaki dan seorang wanita.

Menurut kenyataan itu, kesemua suspek yang ditahan masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati salah seorang tekong pada awalnya menjadi peninjau dengan menunggang motosikal untuk memastikan keadaan lorong tikus selamat.

“Setelah itu dua lagi daripadanya (tekong) cuba membawa masuk Pati dengan menaiki sebuah lori satu tan. Namun taktik mereka berjaya dipatahkan hasil serbuan dilakukan oleh pasukan SERKAP Sektor Kandaie,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati kesemua Pati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mengaku ingin mencari kerja di Malaysia.

Ujar kenyataan itu kesemua tangkapan telah dibawa dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk tindakan siasatan lanjut.

Secara Rawak

Artikel Terbaru