Sunday, June 13, 2021

Getir bertarung nyawa melawan Covid-19

Mesti baca

PADA Khamis negara mencatatkan rekod tertinggi jumlah kematian harian. Sebanyak 59 kematian direkodkan sekali gus memberi gambaran ngeri kepada 33 juta penduduk Malaysia betapa Covid-19 semakin mengganas. Virus ini tidak pernah tidur dan terus mencari mangsa. Ini sesuatu yang  amat menakutkan dan merisaukan kita semua.

Benar, setiap makhluk hidup  atau berjiwa pasti mati. Bila, di mana dan bagaimana kita akan mati, ialah ketentuan Tuhan. Di mana pun kita berada, kematian akan mendapatkan kita, kendatipun kita berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.  Namun, jika diberi pilihan, kita  semua tentu tidak mahu mati disebabkan virus Covid-19. Kematian disebabkan Covid-19 sesuatu yang menyeksakan.

Tidak ada orang yang waras mahu mati dalam keadaan yang menyeksakan. Mereka tentu tidak mahu bertarung dengan penderitaan, kesengsaraan dan kepedihan sebelum menemui ajal. Kita tentu mahu menemui-Nya dalam keadaan setenang dan sedamai mungkin.

Justeru, kita tidak harus mengambil mudah dengan beranggapan, kita atau anggota keluarga terdekat kita tidak akan dijangkiti Covid-19, dan akhirnya menemui ajal. Kita bukan kebal atau kalis daripada virus ini. Semua kita berpotensi dijangkiti tidak kira darjat, usia atau kaum.

Kita tidak harus berada dalam ilusi atau terperangkap dalam jaringan penafian. Ini sesuatu yang amat berisiko. Kita tidak harus memilih untuk menemui ajal dengan mati disebabkan virus maut yang telah pun mengorbankan lebih tiga juta jiwa di seluruh dunia.

Tsunami Covid-19 menerjang India, mengakibatkan rumah sakit  dan rumah mayat kawalahan dengan lebih 4,000 kematian setiap hari.  Keadaannya begitu mengerikan, dan kita tentu tidak mahu Malaysia berdepan situasi sama.

Dan angka itu terus berlegar sekitar 12,000 kematian setiap hari di seluruh dunia. Di Sarawak sepanjang tahun lepas hanya 19 orang jadi korban, Setakat semalam 252 telah maut di negeri ini.   Sebanyak 42,283 telah dijangkiti. Tidakkah ini sudah cukup untuk kita berasa bimbang, takut dan lebih berhati-hati? Maksudnya, kita tidak boleh mengambil mudah akan virus ini dengan beranggapan bahawa kita tidak akan terkena jangkitannya.

Dalam keadaan sekarang, sikap takut mungkin lebih baik daripada berani.

Banyak daripada kita tentu tidak dapat menggambarkan betapa derita dan sengsaranya pengalaman diharungi mangsa jangkitan, sebelum mereka menemui ajal. Kita perlu tahu betapa sengsara dan deritanya pesakit yang terkena wabak ini.

Setiap detik ialah detik kesakitan yang bukan kepalang tanggung. Bayangkan sahaja pesakit mengalami demam panas dengan suhu badan mencecah sehingga 39 darjah Selsius untuk tempoh lama sehingga sembilan hari.

“Tiada kata yang mampu saya ungkapkan ketika itu, hanya menangis, meraung sepuas-puasnya mengenangkan nasib sendiri, keluarga dan orang sekeliling saya. Bermacam-macam perkara berlegar-legar dalam kepala,” kata seorang pesakit kepada media.

Bagi mereka, seakan-akan kematian sudah hampir. Daripada semua yang kongsikan pengalaman mereka setakat ini, dapat saya rumuskan bahawa pengalaman bertarung nyawa lebih seminggu dengan virus itu amat perit, menyeksakan, dan sukar dilupakan.

Pesakit sukar bernafas, sakit sendi,  paru-paru rasa sesak, sampaikan hendak bernafas pun berbunyi macam kertas kena ronyok, mata rasa macam terbakar,   demam, teruk, sakit kepala tak tertanggung, telinga sakit macam hendak meletup,  hilang deria bau, sesak nafas dan batuk, dan akhirnya berat badan juga turun. Ada yang terpaksa dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Jika kita bernasib baik, kita tentu akan sembuh dan dapat kembali ke pangkuan keluarga. Tetapi bagaimana kalau saat itu tidak tiba, dan kita semua sudah ditakdirkan menemui-Nya?

Kematian akan menyebabkan kita tidak lagi dapat menemui keluarga dan sahabat handai, dan sahabat handai juga tidak lagi dapat menguruskan kematian dan pengebumian kita sebagaimana sepatutnya.

Dalam keadaan sekarang, industri pengurusan kematian dilaporkan sudah tidak menang tangan mengurus korban Covid-19.

Jangan biarkan negara kita menyaksikan keadaan seperti  yang dialami India, Brazil dan Itali berlaku di negara ini. Kita tentu tidak mahu keranda berbaris di dalam rumah mayat.

Awal bulan ini, rakaman audio suara pengasas Nirvana, Kong Hon Kong telah tersebar di media sosial.

Dalam rakaman itu, pengarah eksekutif berkenaan menggesa orang ramai supaya duduk di rumah,  bahkan  beliau mengatakan “Nirvana tidak mahu wang anda”.

“Akhir-akhir ini Nirvana menangani banyak kes kematian yang berkaitan dengan Covid-19. Setiap orang harus mengambil perhatian, jangan keluar rumah jika tidak perlu, tidak ada yang lebih penting daripada kehidupan kita sendiri, jangan keluar, cuci tangan dan bersenam lebih banyak, Nirvana tidak mahukan wang anda. Semoga semua orang mempunyai kehidupan yang panjang dan sihat,” katanya.

Ingat, penyakit ini merampas kesempatan pesakit dan kesempatan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang untuk mengucapkan perpisahan terakhir.

Yang menghantar ahli keluarga yang menemui ajal ke kuburan mungkin bukan anda.  Stigma terhadap jenazah pesakit berkenaan tentu akan menambah duka keluarga yang ditinggalkan.

Bayangkan, jenazah yang sepatutnya diuruskan secara normal ke tempat peristirahatan terakhir, tidak dilayat, dan tanpa pemakaman yang layak. Tentu rasanya amat pedih dan sedih ketika anda memerlukan sokongan keluarga, teman atau orang terdekat.  Tetapi mereka tidak berada di samping anda. Anggota keluarga mungkin hanya sempat dan dapat meyaksikkan dari jauh. Ini sesuatu yang amat memilukan.

Upacara pengebumian yang sunyi tentu dialami seluruh pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

Semoga Tuhan memberi kita kesabaran, kekuatan dan ketabahan mengharungi dugaan ini. Kita harus mengelak sedaya upaya daripada menemui maut kerana Covid-19.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru