Sunday, June 13, 2021

727 tangkapan dadah pada bulan April

Mesti baca

KUCHING: Sebanyak 727 tangkapan dadah dan bahan terlarang berjaya dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Kastam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak pada bulan April lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Ser Fatimah Abdullah berkata, tangkapan tersebut merupakan hasil daripada 569 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

“Daripada hasil itu, sebanyak 51 tangkapan adalah melibatkan pengedaran, 169 memiliki dadah dan bahan terlarang dan 507 adalah tangkapan kepada individu yang disaring positif urin.

“Jumlah tersebut adalah penurunan sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan tangkapan dalam bulan Mac lalu iaitu sebanyak 770 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Bulanan Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Penyalahgunaan Bahan terlarang (MIDS) di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Fatimah menambah, melalui operasi itu, sebanyak 20 kilogram dadah dan bahan terlarang berbentuk mampat dan 217 berbentuk pil telah dirampas oleh JSJN serta Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM225,219.

“Impak rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 20,188 kali penggunaan dadah dan bahan terlarang serta menyelamatkan 5,047 individu bagi tempoh sebulan di Sarawak.

“Hasil tangkapan dan rampasan itu, kita dapat menyekat penawaran dan pemintaan terhadap dadah dan bahan terlarang di Sarawak.

“Sekatan kepada rantaian penawaran dan permintaan terhadap dadah dan substance adalah dua strategi utama dalam Pelan Tindakan MIDS OSC Sarawak,” jelasnya.

//

Secara Rawak

Artikel Terbaru