Sunday, June 13, 2021

Pengalaman terima suntikan AstraZeneca

Mesti baca

Saya telah menerima vaksinasi AstraZeneca (AZ) di Stesen 3, Pusat Pemberian Vaksin World Trade Centre (PPV-WTC) dulunya PWTC di Kuala Lumpur malam tadi.

Stesen 3 ini dikendalikan oleh U.n.i KLINIK, sebuah rangkaian perubatan yang dibangunkan dengan sokongan Divisyen Komersial Infrastruktur Majlis Amanah Rakyat (MARA).

U.n.i KLINIK merupakan antara 5 fasiliti perubatan swasta yang telah dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat dalam usaha menghentikan penularan wabak Covid-19.

PPV-WTC secara rasmi dibuka pada jam 9 pagi hingga 6 petang. Tetapi ia hanya benar-benar ditutup pada jam 9 malam setelah mereka yang hadir untuk mendapat vaksinasi selesai diberi suntikan.

Proses mendapatkan vaksinasi yang telah saya lalui mengambil masa kira-kira satu jam.

Saya tiba di pusat pendaftaran PPV-WTC pada jam 7.50 malam dan 60 minit kemudian saya telah dibenarkan pulang.

Proses vaksinasi itu bermula dengan pendaftaran, diikuti dengan penyemakan data dalam app MySejahtera, sesi konsultasi dengan pakar perubatan, vaksinasi dan pemerhatian pasca vaksinasi selama 15 minit.

Saya disuntik pada jam 8.27 minit malam dan tepat jam 8.34 saya telah berada di bilik pemerhatian. Saya ditempatkan di sana untuk tempoh 15 minit bagi tujuan untuk memantau sebarang reaksi pasca vaksinasi yang tidak diingini, jika ada.

Saya beruntung kerana sepanjang berada di Stesen 3, saya telah dilayan mesra oleh Dr. Nazif Nor Rahim yang mengetuai pasukan perubatan U.n.i KLINIK di sana.

Dalam keadaan biasa, beliau berkhidmat di U.n.i KLINIK di Sendayan, Negeri Sembilan.

Dr. Nazif, tanpa diminta, telah memberi layanan kelas pertama kepada saya dan juga penerima vaksin yang lain di stesen jagaan beliau.

Semasa sesi konsultasi, beliau tekun melayan apa-apa juga pertanyaan yang diajukan mengenai AstraZeneca terutama kebimbangan bahawa siapa yang menerima vaksin buatan Oxford University itu berpotensi untuk mengalami pembekuan darah seperti yang terjadi pada sebilangan kecil penerima vaksin tersebut di negara-negara Eropah.

Beliau tidak menafikan kemungkinan itu, tetapi berpendapat dan yakin AZ tetap selamat digunakan oleh rakyat negara ini. Beliau sendiri telah menerima dos pertama AZ.

Sehingga ini tiada kes mereka yang menerima AZ mengalami pembekuan darah di negara ini. Syukur Alhamdulilah.

Dalam perjalanan menghantar saya ke bilik pemerhatian saya bertanyakan apakah beliau dan pasukan perubatan tidak letih kerana terpaksa bekerja sampai dua belas jam sehari.

Beliau memberitahu apa-apa yang mereka lakukan di PPV-WTC tidaklah seteruk yang dialami oleh rakan-rakan doktor lain di hospital-hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19 yang bertarung nyawa.

Kata beliau, “di sana rakan-rakan saya bertungkus lumus menyelamatkan pesakit yang telah dijangkiti Covid-19. Kami di sini pula berusaha sedaya upaya menyelamatkan mereka yang belum dijangkiti dan inilah yang dapat kami lakukan dan bakti kami untuk menghentikan penularan virus itu dalam kalangan rakyat.”

Secara peribadi saya kagum dengan apa yang dilakukan oleh pasukan perubatan U.n.i KLINIK di Stesen 3 PPV-WTC.

Mereka telah memberi khidmat yang terbaik dan sangat mesra kepada setiap orang yang hadir untuk mendapatkan vaksinasi.

Justeru, kalangan yang telah disenaraikan oleh MySejahtera untuk menerima vaksin AstraZeneca pada waktu ini, jangan lagi menoleh ke belakang, maju terus ke hadapan dan datanglah untuk mendapatkan vaksinasi anda.

Kepada pasukan perubatan U.n.i KLINIK dan semua petugas barisan hadapan di PPV-WTC dan PPV yang lain, anda telah memberi khidmat yang sangat mulia kepada negara dan hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa dan bakti anda.

Selamat bertugas….. lindung diri, lindung semua.

Petugas U.n.i KLINIK yang bekerja di bilik pemerhatian tekun menunaikan tanggungjawab yang diamanah kepada mereka.
Pasukan perubatan U.n.i KLINIK bersiap siaga untuk menghadapi apa juga kemungkinan di bilik pemerhatian.
Berbual dengan Dr. Nazif (tengah) dan Encik Zahari Abdul Aziz (kiri), pengarah bahagian infrastruktur MARA yang membantu membangun dan menjenamakan rangkaian U.n.i KLINIK di seluruh negara. Selain klinik, U.n.i juga terbabit dalam bidang farmasi dan tidak lama lagi membangunkan rangkaian klinik pergigian. Zahari kebetulan menerima vaksinasi AZ pada malam yang sama dengan saya.
Saya (kanan) bergambar kenangan dengan Dr. Nazif sebelum pulang dengan mesej yang jelas yang mahu disampaikan kepada semua: Lindung Diri, Lindung Semua.

Secara Rawak

Artikel Terbaru