Sunday, June 13, 2021

Matlamat kewangan mesti dibina segera

Mesti baca

Merancang kewangan dan melabur adalah perkara yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan seseorang bagi memastikan kehidupan dibina dengan sejahtera.

Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa tertentu. Selain itu, ia juga adalah kpmpas yang membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.

Justeru itu, menetapkan matlamat kewangan adalah sangat penting dalam membuat perancangan kewangan diri dan keluarga. Ini kerana, matlamat kewangan yang jelas merupakan dorongan dan galakkan untuk anda berjaya merealisasikan matlamat hidup anda dan keluarga.

Beberapa langkah yang boleh dilaksanakan dalam menetapkan matlamat kewangan yang baik.

  • TETAPKAN MATLAMAT JELAS

Fasa terpenting dalam menetapkan kedudukan kewangan, anda perlu mempunyai matlamat kewangan yang jelas dan spesifik. Dengan cara ini, anda akan mendapat gambaran dan visualisasi masa depan sekaligus minda anda akan fokus untuk mencapai matlamat itu. Sikap  bertanggungjawab, komited, berdisiplin dalam merancang kewangan anda untuk setiap peringkat hidup perlu dibuat. Penyediaan perancangan hidup dan kewangan dengan teliti untuk menentukan secara terperinci matlamat kewangan yang perlu diperolehi. Contohnya, perancangan untuk memiliki rumah sendiri pada usia 30 tahun.

Dengan tetapkan matlamat yang spesifik, anda akan mendapat gambaran atau visualisasi masa depan sekaligus minda anda akan fokus untuk mencapai matlamat itu.

  • KAYU UKUR YANG PRAKTIKAL

Matlamat kewangan mesti boleh diukur. Apabila sudah ada matlamat spesifik seperti mahukan rumah pada usia 30 tahun, anda perlu mempunyai kayu pengukur untuk memantau kemajuan anda dalam mencapai matlamat itu. Contohnya, anda mungkin mahu mengumpul 10 peratus daripada harga rumah idaman anda untuk bayaran muka depan (deposit rumah) dan kayu pengukur anda dalam hal ini adalah supaya jumlah tersebut terdapat dalam akaun bank anda.

  • FAHAMI KEMAMPUAN DIRI

Matlamat kewangan mesti boleh dicapai selagi ianya berada dalam kemampuan. Selain ada idea yang jelas mengenai perancangan kewangan kukuh, anda harus sedar mengenai kedudukan kewangan anda pada setiap masa. Ini boleh dilakukan dengan memeriksa secara berterusan setiap komponen kedudukan kewangan anda seperti pinjaman yang perlu dibayar, baki kad kredit serta pendapatan dan perbelanjaan bulanan. Ketahui nilai bersih pendapatan anda dengan mengetahui apa aset dan liabiliti yang anda miliki. Ini boleh membantu anda membuat keputusan pelaburan yang bijak.

  • FAKTOR MASA (TIME VALUE OF MONEY)

Masa memainkan peranan penting dalam setiap pelaburan dan juga matlamat kewangan anda. Oleh itu, anda perlu memahami konsep masa dan tempoh matang dalam setiap langkah anda mencartakan perjalanan kewangan untuk kehidupan yang selesa. Matlamat anda boleh dibahagi dua iaitu matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang.

MATLAMAT KEWANGAN JANGKA PENDEK:

  • TABUNG PERKAHWINAN

Urusan perkahwinan bukanlah sesuatu yang harus dipandang mudah. Hakikatnya, tanpa perancangan kewangan yang betul, hari bahagia yang dinanti-nanti bakal bertukar menjadi malapetaka besar dan beban sekiranya kedudukan kewangan tidak kukuh.

Sediakan bajet bulanan supaya perbelanjaan anda tidak tersasar dengan pembelian yang tidak penting. Anda harus menyimpan lebih daripada biasa jika anda mahukan sejumlah wang yang boleh digunakan untuk hari perkahwinan.

  • DANA KECEMASAN

Mendidik diri untuk menyimpan bukanlah perkara mudah. Ini kerana masyarakat sekarang lebih gemar berbelanja mengikut kemahuan berbanding keperluan. Langkah bijak adalah dengan mewujudkan tabung kecemasan yang tersedia wang di dalamnya sekiranya anda memerlukan wang dengan segera.

Sebaik-baiknya anda mempunyai enam kali jumlah gaji bulanan anda di dalam simpanan kecemasan. Ini dapat membantu jika anda kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba atau berlaku keperluan yang mendesak seperti kematian atau kemalangan. Tabung kecemasan yang tersedia wang di dalamnya akan membantu anda jika memerlukan wang dengan segera.

  • TABUNG PELABURAN

Sediakan dua akaun berbeza, akaun simpanan dan akaun pelaburan. Akaun simpanan untuk kegunaan harian, manakala akaun pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah untuk jangka panjang.

MATLAMAT KEWANGAN JANGKA PANJANG:

  • TABUNG PEMBELIAN RUMAH

Pupuk tabiat menabung seawal mungkin selain perlu konsisten dalam membuat tabungan untuk impian membeli rumah.

Mulakan dengan mengumpul bayaran deposit. Mula menyimpan wang walaupun masih bujang. Ini adalah tempoh terbaik untuk membuat tabungan kerana anda masih belum mempunyai komitmen terhadap pasangan dan anak.

  • TABUNG PENDIDIKAN

Ibu bapa yang bijak akan membuat perancangan masa depan anak dengan mempunyai simpanan dari awal supaya anak tidak terikat dengan bebanan hutang apabila tamat pengajian.

Langkah pertama perlu diambil ibu bapa dalam perancangan matlamat ialah berinteraksi dan berkomunikasi dengan anak. Komunikasi amat penting untuk mengetahui apa yang diimpikan anak anda. Berbekalkan pengetahuan inilah baru anda dapat membantu impian anak menjadi kenyataan. Biasanya anak-anak kurang jelas dalam membentuk sesuatu matlamat dan di sinilah timbulnya peranan anda selaku ibu bapa. Berbincanglah dengan mereka, tanyalah mereka soalan yang dapat membantu mereka membentuk matlamat mereka dengan sendirinya.

KESIMPULAN

Luangkan masa untuk duduk dan berbincang dengan pasangan atau luangkan masa untuk diri sendiri bagi memahami kehendak dan cita-cita anda dalam hidup. Merancang hal kewangan seharusnya perkara yang dititikberatkan agar anda tidak terlepas pandang dalam hal ini.

Luangkan masa untuk memahami matlamat, kehendak dan cita-cita anda dalam hidup. Dengan perancangan kewangan yang baik, anda boleh membina kehidupan yang selesa di masa hadapan.

Ini adalah inisiatif siri pendidikan kewangan daripada Pejabat Bank Negara Malaysia Kuching, Sarawak untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan kewangan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Juh hashtag: #SiriKesedaranPendidikanKewanganSarawak 2021

Penulis ialah Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuching

Secara Rawak

Artikel Terbaru