Sunday, June 13, 2021

Elak ulas isu sensitif terutama boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di media sosial

Mesti baca

KUCHING: Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang mencetuskan situasi tidak harmoni dalam masyarakat majmuk di negeri ini disebabkan isu Palestin dan Israel.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata setakat ini, pihaknya telah menangkap dan menjalankan siasatan lanjut ke atas dua individu yang telah mencetuskan situasi sedemikian.

“Hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidi, ekoran konflik antara Palestin dan Israel, sebahagian orang ramai mula menyatakan pendapat masing-masing dengan pelbagai cara terutamanya melalui media sosial.

Katanya melalui pemantauan pihaknya, terdapat beberapa komen yang dibuat didapati telah menyentuh isu-isu sensitif seperti mengaitkan isu agama, bangsa dan keturunan orang lain sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memberikan pendapat atau komen-komen berkaitan konflik antara Palestin dan Israel.

Tegasnya, orang ramai juga diingatkan tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk melepaskan kemarahan atau rasa tidak puas hati sehingga menyinggung perasaan dan sensitiviti orang lain.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang terutamanya Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai harus sentiasa peka terhadap setiap perkara yang berlaku dan jangan mudah terpengaruh dengan apa-apa sahaja info yang diterima.

“Pastikan kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi dengan orang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata orang ramai juga tidak boleh mengambil tindakan sendiri jika ada sebarang perkara yang mencetuskan kemarahan berhubung isu Palestin dan Israel kerana ia boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Secara Rawak

Artikel Terbaru