Tuesday, June 22, 2021

PKP jika kes terus meningkat di Miri

Mesti baca

MIRI: Miri bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi sekiranya terdapat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak serta prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi.

Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, jalan terakhir itu hanya akan dicadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“PKP telah dilaksanakan di Miri pada 18 Mac tahun lalu. Kami berharap usaha yang dilakukan kerajaan sekarang berjaya menurunkan kes-kes positif dengan trend amat membimbangkan.

“Kalau tiada cara lain, kami mungkin terpaksa mencadangkan kepada JPBNS supaya melaksanakan PKP di Miri. Sudah pasti kami tidak mahu melaksanakan PKP ini yang akan menyusahkan semua pihak serta menjejaskan semua sektor khususnya sektor ekonomi,” katanya di sini baru-baru ini.

Kim Shin berkata, JPBB Miri amat komited untuk menurunkan jumlah kes di Miri dan pelbagai tindakan kawalan serta pencegahan dilakukan termasuk melalui aktiviti pemeriksaan, pemantauan, nasihat serta tindakan mengenakan kompaun kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP Covid-19.

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah melalui panggilan telefon mengingatkan bahawa pemeriksaan dan penguatkuasan perlu dilakukan bagi memastikan SOP PKPB yang digariskan dipatuhi dengan baik.

“Kami berharap semua pihak akan memberikan kerjasama yang padu dalam mematuhi SOP PKPB ini. “Yang penting buat masa sekarang, Miri telah memperketatkan SOP dan mudah-mudahan dengan disiplin dan kerjasama orang ramai kita akan dapat mengawal keadaan pandemik ketika ini,” jelasnya.

Terdahulu, pagi semalam beliau bersama agensi di bawah JPBB Miri dan ahli jawatankuasa melawat empat pusat beli-belah. Mengulas mengenai salah satu pasar raya yang telah dilawati iaitu Ng Sian Hap (Miri) Sdn Bhd, Kim Shin memuji kepantasan pengurusan pasar raya ini dalam mematuhi arahan terkini yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Miri.

Ia termasuk mengehadkan hanya 200 pelanggan dibenarkan masuk ke dalam pasar raya itu dalam satu-satu masa dengan mengagihkan kad nombor 1 hingga 200 (kad berlainan warna) di semua laluan pintu masuk pasar raya itu. “SOP ini bukan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya untuk menjaga keselamatan semua.

“Jika semua memberikan kerjasama baik dan mematuhi SOP, kes boleh turun dan sudah pasti kita boleh beri kelonggaran. Kalau kes semakin meningkat, SOP lebih ketat akan dikenakan,” tegasnya.

JPBB Miri memandang serius situasi pandemik Covid-19 dan pasukan penguat kuasa akan membuat rondaan lebih kerap ke premis-premis, malah kompaun akan dikenakan kepada manamana pihak yang tidak mematuhi SOP Covid-19.

Secara Rawak

Artikel Terbaru