Sunday, June 13, 2021

Luka dan duka India: Pengajaran untuk rakyat Malaysia

Mesti baca

SEKURANG-kurangnya 40 jenazah terapung di Sungai Gangga di India utara pada minggu lalu. Sebab, terdapat keluarga yang tidak punya pilihan selain meletakkan jenazah kerabat mereka yang meninggal akibat Covid-19 ke dalam sungai.

Alasannya, mereka kekurangan kayu untuk upacara pembakaran, apatah lagi biaya pemakaman sejak akhir-akhir ini juga melonjak.

Keadaan di negara 1.4 bilion jiwa begitu muram, getir dan menyedihkan. Jumlah kes mencanak setiap hari, dengan kematian harian sekitar 4,000. Ini sekali gus memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam sehingga ada negeri sistemnya lumpuh.

India berada di belakang Amerika Syarikat dari segi jumlah kes jangkitan, sudah mencecah lebih 24 juta, dan lebih 262,000 kematian setakat ini.

Lebih 45 peratus kes baharu Covid-19 global direkodkan di India minggu lalu, negara yang mewakili 18 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia. Malah, menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada empat kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia turut berlaku di India.

Bagai tiada sinar di hujung terowong untuk India. India bagai gagal menangani pandemik Covid-19 setelah meledaknya jumlah kes susulan upacara keagamaan di Sungai Gangga beberapa minggu lalu.

Namun di sebalik ini semua, kekurangan oksigen masih menjadi masalah besar di sejumlah kota termasuk ibu kota Delhi. Tabung oksigen mudah alih adalah satu-satunya cara bagi pesakit dalam serius untuk tetap bernafas saat mereka tidak mendapatkan katil di hospital.

“Setiap minit dalam barisan, ayah saya kehabisan oksigen. Saya tidak dapat meminta sesiapa pun untuk mengizinkan saya memotong barisan kerana semua orang berada dalam situasi yang sama. Saya mengisi ulang silinder setelah enam jam berbaris, tetapi besok saya harus melakukan hal yang sama lagi, “kata seorang ahli keluarga pesakit yang dikutip BBC.

“Saya ngeri memkirkan perkara yang akan terjadi seandainya saya tidak dapat mengisi ulang silinder,” katanya

Ketika rumah sakit di Delhi dan banyak kota lainnya kehabisan katil, warga India terpaksa mencari cara-cara lain untuk merawat pesakit Covid-19 di rumah. Ini sesuatu yang malang.

Malah, ada hospital tidak lagi dapat menampung pesakit kerana semua katil sudah penuh. Ini sesuatu yang malang dalam keadaan keluarga pesakit terdesak untuk memastikan anggota keluarga mereka dapat dimasukkan ke hospital, dan akhirnya dapat diselamatkan.

Bukan tidak ada yang terpaksa menunggu di hadapan hospital berhari-hari untuk memastijkan mereka punya peluang untuk dirawat. Tetapi ketika angka jangkitan melonjak harapan tinggal harapan.

Malah, ada pesakit yang meninggal dunia di depan hospital atau di dalam ambulans atau di dalam kereta.
Dalam keadaan terdesak, banyak antara mereka mencari oksigen di pasar gelap meskipun harga tabung oksigen, oksigen kosentrator dan ubat-ubatan yang amat diperlukan telah meroket.

Setiap hari ialah pertempuran dan tragedi. Kematian tragedi yang amat membekas di hati anggota keluarga yang ditinggalkan. Di mana silapnya? Apakah yang menyebabkan jumlah kes di India terus melonjak?

Apakah yang dapat kita pelajari daripada kejadian di negara itu? Gelombang kedua di India berpunca daripada lemahnya protokol kesihatan dan banyaknya perhimpunan dan kempen pilihan raya di sesetengah negeri menyebabkan hospital tidak lagi dapat menampung jumnlah pesakit.

Sebahagian rakyatnya tidak mempedulikan arahan dan peraturan yang digariskan kerajaan.

Tertundanya ujian Covid, diagnosis dan kurangnya tempat tidur di rumah sakit dan ubat-ubatan juga menyebabkan meningkatnya kematian.

Namun ada yang mendakwa angka kematian yang dilaporkan jauh di bawah angka yang sebenarnya dan tidak selari dengan kesaksian di lapangan. Yang menyedihkan banyak yang berbaris di krematorium sementara kayu-kayu untuk membakar jenazah juga habis.

Dalam situasi normal, mendapatkan doktor dan ambulans adalah sangat sulit.

Pandemik Covid-19 dan tekanan terhadap sistem kesihatan menyebabkan rakyat makin kesulitan mendapatkan layanan doktor. Video tular bagaimana ada keluarga yang menyerang doctor kerana tidak lagi sabar menunggu giliran agar keluarga mereka yang sakit diberi layanan dan perhatian, sesuatu yang menyedihkan.

Doktor berkenaan menangis, dan mengakui tidak lagi mahu bekerja sebagai doktor kerana menerima tekanan yang dahsyat daripada masyarakat yang juga turut terdesak mahu memastikan nyawa anggota keluarga mereka yang sakit dapat diselamatkan.

“Saya saksikan banyak orang meninggal di ambulans. Rumah-rumah sakit menolak pesakit kerana tidak ada lagi tempat bagi mereka … ubat-ubatan dan bekalan oksigen juga sangat sedikit,” kata satu sumber. Harga kayu yang dipakai untuk membakar jenazah naik tiga kali lipat dan waktu tunggu untuk mendapatkan tempat pembakaran jenazah makin lama.

Kalau sebelumnya keluarga si mati menunggu antara 15 hingga 20 minit, namun ketika ini harus menunggu hingga lima atau enam jam.

“Saya tak pernah menyaksikan situasi ini sebelumnya, di mana-mana ambulans dan jenazah,” kata sumber berkenaan yang dipetik BBC.

Seorang perempuan muda di dalam rakaman video, tampak menangis kerana dua rumah sakit menolak merawat ibunya.

“Mereka mengatakan tak ada lagi tempat tidur pesakit. Kalau tak ada lagi tempat tidur, ya letakkan saja di atas lantai, setidaknya dengan berada di rumah sakit, ibu saya akan mendapatkan rawatan. Ada banyak pesakit yang bernasib sama dengan ibu saya, ditolak di mana-mana,” kata seorang wanita.

Kita perlu belajar daripada kejadian yang berlaku di India. Kita tidak harus leka dan mengambil mudah kerana virus maut ini semakin mengganas dan semakin berbahaya. Jika kita lalai dan leka, kita berdepan risiko berdepan keadaan di India.

Kita perlu sedar bahawa kita sama sekali tidak boleh membiarkan angkanya terus melonjak ke satu tahap yang tidak dapat dikawal, kerana ini akan lebih menyukarkan kita untuk melandaikan lekuk, selain memberi bebanan berlebihan kepada sistem kesihatan.

Jangan sampai sistem kesihatan kita tidak lagi dapat menampung junlah pesakit sehingga banyak yang terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi atau menggunakan oksigen. Kita tentu tidak mahu angka kematian mencecah ratusan apatah lagi ribuan sehari. Jumlah 34 kematian yang dicatatkan dua hari lalu, sudah cukup untuk memberi amaran kepada kita, betapa kita perlu lebih berwaspada dengan tidak perlu mendedahkan diri kita di luar.

Kalaupun tidak ada pilihan, kita perlu patuh seratus peratus kepada prosedur operasi standard bagi mengelakkan kita daripada terkena jangkitan. Seyogia diingat sebanyak 47 kluster membabitkan 6,100 kes indeks daripada perjalanan rentas negeri dan daerah direkodkan sejak 7 Disember lalu.

Kluster Pasai juga menjadi ‘super spreader’ yang merebak ke beberapa kawasan dan akhirnya menjangkiti 2,696 orang di 58 rumah panjang dan mengakibatkan 29 kematian.

Kejadian yang berlasku di India dan Kluster Pasai yang menggila sehingga sukart dikekang, seharusnya membuka mata kita semua. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur.

Secara Rawak

Artikel Terbaru