Sunday, November 27, 2022

Perpaduan dituntut ketika negara berdepan pandemik Covid-19

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengajak seluruh rakyat Sarawak

pelbagai bangsa, keturunan, agama dan kecenderungan politik terus menjaga akhlak budi pekerti dan mengukuhkan budaya menghormati antara satu sama lain.

Katanya, perpaduan rakyat amat penting bukan hanya pada masa senang tetapi juga dalam pada ketika negeri ini menghadapi bencana seperti pandemik Covid-19.

“Ini bukanlah masanya untuk kita berpecah atau berbalah antara satu sama lain, namun pihak kerajaan tetap bersedia untuk menerima pandangan yang berbeza dan membina,” katanya dalam perutusan Hari Raya 2021, di sini.

Menurut Abang Johari, Islam adalah agama fitrah, dengan keseluruhan ajarannya bermatlamatkan menjaga kemuliaan Insan sebagai manifestasi keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk mengekang jangkitan Covid-19 di samping melaksanakan program imunisasi bagi 2.08 juta rakyatnya yang layak menerima vaksin.

Kerajaan Sarawak katanya, sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi termasuk berunding dan membuat perolehan sendiri daripada pembekal supaya program imunisasi di negeri ini mampu diselesaikan menjelang Ogos depan.

“Kerajaan negeri perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan sebelum tempahan vaksin boleh dibuat oleh Sarawak,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru