Sunday, May 22, 2022

Dua lagi kawasan baharu wabak rabies di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Dua lagi kawasan iaitu Pedaan di Telang Usan dan Pekan Tatau, Bintulu diisytiharkan kawasan baharu wabak rabies.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) berkata pengistiharan itu susulan daripada kes positif ujian makmal ke atas dua anjing liar yang ditangkap semasa survelan aktif di kawasan berkenaan.

“Memandangkan kedua-dua kawasan ini berada di luar 10 km radius kawasan yang telah diisytiharkan, maka ia adalah kawasan baru wabak rabies yang ke-68 dan ke-69,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

JPVS menambah, setakat ini sebanyak 69 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies sejak Julai 2017.

“Ini termasuk Kuching (7), Samarahan (4), Serian (22), Sri Aman (6), Betong (3), Sarikei (5), Sibu (2), Kapit (1), Mukah (6), Bintulu (5), Miri (7) dan Limbang (1).

“Pemilik anjing sekali lagi diingatkan supaya memastikan anjing mereka diberi suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun,” jelasnya.

Menurut JPVS, suntikan vaksin rabies boleh didapati di mana-mana pejabat veterinar atau klinik haiwan swasta.

“Kegagalan berbuat demikian boleh disabit kesalahan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Selain itu, denda tidak melebihi RM2,500 dan anjing boleh ditangkap dan ‘Targeted Removal’ sekiranya tanpa bukti pemvaksinan anti-rabies,” ujarnya.

JVPS menegaskan, tindakan membiarkan anjing lepas bebas atau membawa anjing keluar dari kawasan wabak rabies tanpa kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Veterinar Negeri merupakan kesalahan dibawah Seksyen 37, dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 bulan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru