Sunday, June 13, 2021

Empat lelaki ragut adik-beradik dicekup polis

Mesti baca

KUCHING: Empat lelaki warga tempatan disyaki terlibat kes ragut dua adik beradik Isnin lalu (26 April) di Jalan Pending tumpas selepas mereka berjaya dicekup polis.

Terdahulu insiden berlaku sekitar jam 4.30 pagi ketika mangsa, 20-an bersama adiknya sedang menunggu majikan mengambil mereka untuk ke tempat kerja.

Ketika kejadian mangsa tiba-tiba didatangi dua lelaki yang bertindak meragut telefon bimbit dan beg sandang milik mangsa dan adiknya.

Sejurus kemudian kedua-dua suspek melarikan diri dengan membonceng dua buah motosikal yang ditunggang oleh rakan sejenayah.

Pemangku Ketua Polis Superintan Merbin Lisa berkata suspek pertama ditangkap di kawasan berhampiran Taman BDC Kuching manakala tiga daripadanya masing-masing ditangkap di dua lokasi berbeza.

Menurutnya, suspek pertama ditangkap dalam masa 48 jam selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Tangkapan kedua di sebuah hotel budget di jalan Canna manakala suspek terakhir telah ditangkap di Jalan Simpang Tiga.

“Taktik kesemua suspek menyewa rumah secara berasingan bagi mengaburi mata pihak berkuasa bagaimanapun gagal untuk menutup jejak mereka daripada dikesan polis.

“Turut dirampas dua buah motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha 125Z, helmet dan pakaian yang digunakan semasa melakukan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, hasil tangkapan berjaya menemui semula barangan kes mangsa seperti kad ATM, kad pengenalan diri dan buku nota milik mangsa.

Dedahnya, semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 32 tahun itu mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dengan jenayah harta benda dan juga dadah.

Secara Rawak

Artikel Terbaru