Sunday, June 13, 2021

Bergaduh di depan pasar raya: Polis buru seorang lelaki di Kuching

Mesti baca

KUCHING: Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan selepas suspek disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di hadapan pasar raya dekat Bintawa Ahad lalu.

Insiden sekitar jam 4.30 petang itu tular di media sosial di mana suspek dilihat bertindak memukul seorang lelaki berusia 29 tahun dengan menggunakan objek kayu dan getah paip.

Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan sakit di bahagian kepala, lebam di bahagian belakang badan, bengkak di bahagian kedua-dua lengan dan badan, dan luka di bahagian siku sebelah kiri.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebagai pesakit luar untuk menerima lawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata satu kertas siasatan berhubung kejadian kini dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

Menurutnya, punca kejadian berlaku selepas mangsa dituduh melakukan kesalahan mencuri barang di lokasi kejadian.

“Suspek dikenal pasti dan sedang dikesan untuk membantu siasatan.

“Pihak polis memandang serius kes ini yang mana tindakan yang melampaui batas boleh menyebabkan sehingga mengancam nyawa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri dengan membelakangkan undang-undang.

Secara Rawak

Artikel Terbaru