Tuesday, June 22, 2021

Pilu rasa hati; Kisah Ebit Lew bantu wanita gelandangan 

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas dan dermawan terkenal, Ebit Lew menyifatkan pertemuannya dengan seorang wanita gelandangan, Aunty Maaletchmy, 62, sebagai hari air mata.

“Pilu rasa hati. Aunty Maaletchmy ini tidur di bawah pokok kecil selama 14 tahun. Kerja kutip besi. Makcik ini umur 62 tahun. Rajin kutip besi. Tiga kali saya ternampak makcik ini kutip besi.

“Cari semula dah tiada. Fasih cakap bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tak sangka ada orang tidur di sini (bawah pokok) selama ini. Dengan kereta banyak lalu sebelah sini,” tulis Ebit Lew  dalam Facebooknya, hari ini.

Menurut Ebit lagi, setiap malam wanita itu akan menolak trolinya, melelapkan mata di bawah pokok dan sebuah khemah kecil di tepi jalan.

Sebolehnya dia menyorokkan tubuhnya, tak mahu orang nampak, dia tak mahu susahkan orang, biarlah dirinya saja yang susah. Itu prinsip Aunty Maaletchmy.

“Tauke besi buruk dan beberapa orang susah yang mengenali makcik ini gembira bila saya datang. Katanya tolonglah dia, kami risau dia tidur bawah pokok saja.

“Makcik ini pernah berkahwin. Lagi sedih makcik ni cerita dekat saya, kadang ada orang kacau. Katanya lelaki pernah buat tak baik padanya atau raba dia. Ramai ambil kesempatan walau dia dah tua. Katanya janji jangan pukul saya sajalah,” katanya lagi.

Prihatin  dan kasihan dengan nasib  Aunty Maaletchmy, Ebit Lew  membelikan baju baharu, menjamunya dan menyewakan sebuah rumah.

“Syukur dapat sewakan rumah di Mentari Court. Bawa sekali troli dan beg kecil milik makcik tadi. Dia menangis cakap terima kasih. Saya ingat kamu main-main. Betul kamu baik ya.

Selepas ini saya tak payah berlari kalau hujan lebat tengah malam. Tiada orang buat tak baik pada saya. Terima kasih ya Ustaz. Saya doakan kamu” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru