Tuesday, June 22, 2021

Cubaan seludup mercun, bunga api gagal

Mesti baca

KUCHING: Cubaan dua buah lori kontena berisi mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM754, 152.12 untuk lolos dari utara ke Kuching Sabtu lalu (1 Mei) gagal selepas kegiatan terbabit berjaya dihidu penguat kuasa.

Kedua-dua kenderaan itu ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching di Jalan Batu 7 menuju ke Jalan Haji Baki sekitar jam 5.30 petang.

Pengarah JKDM Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, tangkapan tersebut merupakan tangkapan terbesar melibatkan mercun dan bunga api di Sarawak bermula Januari hingga 10 May, tahun ini.

Menurutnya kesemua barangan kes dipercayai sebagai bekalan sindiket di sekitar bandar raya Kuching dalam menghadapi permintaan tinggi menjelang musim perayaan Aidilfitri dan sambutan Gawai yang bakal berlangsung.

“Ketika pemeriksaan tiga individu iaitu lelaki warga tempatan masing-masing berusia 30-an yang bertugas mengendalikan kedua-dua kenderaan terbabit ditahan untuk membantu proses siasatan lanjut.

“Hasil OPS Letup ketika operasi berjaya menemui mercun dan bunga api pelbagai jenama dianggarkan seberat 46, 783.10 Kilogram dengan anggaran nilai duti atau cukai berjumlah RM386,198,” katanya dalam sidang media di stor penguatkuasaan JKDM Demak Laut hari ini.

Jelas beliau, siasatan lanjut turut mendapati suspek telah memalsukan item barangan yang diikrarkan di atas dokumen permit polis disyaki untuk melepaskan diri dari sekatan rentas daerah.

Dedahnya, modus operandi sindiket penyeludupan itu sebenarnya merancang tiba di kawasan bandar raya Kuching pada tengah malam namun tiba di lokasi pada petang.

Tambahnya, kesemua barangan terbabit merupakan barang-barang import daripada negara China.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Secara Rawak

Artikel Terbaru