Tuesday, June 22, 2021

100 asnaf di Matu disantuni

Mesti baca

MATU: Seramai 100 asnaf dari sekitar Matu disantuni dalam Program Santunan Mahabbah Masjid Daerah Matu 2021 yang diadakan di Masjid Daerah Matu pada Isnin.

Program tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Masjid Daerah Matu dengan kerjasama Pejabat Daerah Matu, Jawatankuasa Perayaan Agama Islam Bahagian Mukah dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya hadir bagi menyampaikan zakat Bank Rakyat Mukah 2021 kepada Ketua Kaum masing-masing untuk disampaikan kepada penerima nanti.

Penerima terdiri daripada golongan asnaf dari Zon Kampung Tian, Zon Kampung Bawang, Zon Kampung Jemoreng, Zon Sekaan Besar, Zon Kuala Matu dan Zon Kampung Igan.

Pada program sama turut disampaikan bakul makanan sumbangan JK Masjid Daerah Matu kepada 110 asnaf dari Zon Kampung Tian, Zon Kampung Bawang, Zon Kampung Jemoreng, Zon Sekaan Besar, Zon Kuala Matu dan Zon Kampung Igan.

Ia disusuli dengan sumbangan bakul makanan oleh PERKIM kepada 30 ahlinya yang tergolong dalam golongan asnaf Daerah Matu.

Pada sebelah petang, Dato’ Dr Juanda berkesempatan menghadiri majlis Santunan Kasih Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Kampung Igan.

Seramai 50 penduduk iaitu ahli tadarus dari lima buah kampung sekitar Igan hadir pada majlis berkenaan.

Beliau kemudiannya menyampaikan duit raya kepada para peserta yang hadir.

Manakala di Kampung Sekerang Igan, Dato’ Dr Juanda meluangkan masa menyampaikan bubur lambuk, pakaian dan wang tunai kepada penduduk, golongan asnaf dan orang kelainan upaya (OKU) di situ.

Seramai 130 penduduk Kampung Sekerang Igan, 30 asnaf dan 8 OKU menerima RM50 setiap seorang yang merupakan sumbangan Dato’ Dr Juanda kepada JKKK Kampung berkenaan.

Program terakhir Dato’ Dr Juanda adalah mengagihkan sebanyak 450 pek bubur lambuk dan kurma kepada penduduk di Kampung Igan.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anggota RELA dan Polis yang terlibat dalam agihan tersebut.

Secara Rawak

Artikel Terbaru