Tuesday, June 22, 2021

Polis jejaki pemilik Facebook fitnah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Polis kini giat mengesan individu disyaki menggunakan nama samaran dan akaun Facebook palsu sebagai platform penyebaran artikel fitnah terhadap Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh.

Artikel yang disebarkan menerusi laman Facebook terbabit mendakwa Fisol menjadi pelindung utama kepada sindiket perjudian, penyeludupan dan kongsi gelap di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket menegaskan siasatan awal telah dilakukan dengan mengenal pasti semua individu yang disebut dan yang terdapat di dalam gambar.

“Selain itu beberapa lokasi yang dimaksudkan dalam posting tersebut turut disiasat.

“Hasil siasatan mendapati ianya merupakan satu tindakan fitnah dan tohmahan dengan tujuan menjatuhkan imej dan reputasi Datuk Fisol Salleh sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak,” katanya dalam sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching hari ini.

Susulan itu katanya siasatan kes kini masih dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988.

Tambahnya, kerjasama bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dilaksanakan bagi melakukan pengesanan terhadap suspek yang menggunakan akaun palsu dan nama samaran terbabit.

Secara Rawak

Artikel Terbaru