Tuesday, June 22, 2021

Peranan masjid, surau harus diperluaskan 

Mesti baca

KUCHING: Dalam era moden ini, peranan masjid dan surau bukan sahaja tempat untuk beribadah, tetapi juga boleh digunakan untuk membantu memperkembangkan kehidupan masyarakat Islam dalam kemajuan ummah. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, sejak zaman Rasulullah S.A.W masjid bukan hanya tempat beribadah, tetapi juga pusat kegiatan dakwah yang luas. 

“Sebagai masyarakat Islam yang hidup dalam zaman moden ini, kita berperanan besar dalam memakmurkan masjid dan surau dengan menggunakan pendekatan yang lebih dekat dengan hati umat Islam. 

“Kita harus mempromosikan masjid dan surau sebagai wadah penyatuan umat Islam dengan menghidupkan kembali peranannya dengan segala macam aktiviti kemasyarakatan seperti program sosial, ekonomi, sukan, pusat pentadbiran, perpustakaan dan kursus serta tempat perbincangan. 

“Mengimbas kembali sejarah, Masjid Nabawi suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat ibadah, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah serta nadi penggerak aktiviti masyarakat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut secara bersemuka dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan baru-baru ini. 

Sebanyak RM305,000 telah diperuntukan dan diserahkan kepada 30 buah masjid dan surau di kawasan DUN Demak Laut. 

Ujar beliau lagi, masyarakat tidak seharusnya disempitkan dengan pemikiran bahawa masjid dan surau hanya untuk beribadah semata-mata sehingga menghadkan fungsi asasnya. 

“Sebaliknya, ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu membuka minda dan berpandangan jauh supaya program dan aktiviti sosial dapat dilaksanakan tanpa sebarang sekatan dalam memberi manfaat kepada masyarakat Islam. 

“Dari segi pentadbiran ianya boleh dikembangkan menerusi penubuhan beberapa biro kecil dan penganjuran program dan aktiviti sosial pula tidak hanya dihadkan kepada yang berbentuk keagamaan sahaja,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, usaha memperkembangkan peranan masjid dan surau bukan sahaja dilihat dari sudut fizikal, ibadah dan kerohanian sahaja, tetapi juga sebagai pusat kegiatan dan pengembangan intelektual masyarakat yang relevan bagi pembentukan masyarakat moden pada hari ini. 

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru