Sunday, June 13, 2021

Pemansuhan UPSR: Belajar daripada negara terbaik di dunia

Mesti baca

SEJAK UPSR diadakan pada 1988, semua sekolah berlumba-lumba untuk mengukir prestasi yang cemerlang dengan memastikan sebanyak mungkin muridnya meraih sebanyak mungkin A dalam mata pelajaran yang diduduki.

Ibu bapa juga ingin memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan, justeru menghantar murid terbabit untuk mengikuti kelas tuisyen dari usia rebung lagi. Mereka juga dibebankan dengan kerja rumah yang banyak.

Adakah peperiksaan awam sejak tahun enam relevan dan dapat menjamin prestasi dan kualiti pendidikan murid dan kualiti pendidikan di negara kita? Atau ia hanya akan melahirkan murid yang hanya pandai menghafal?

Hakikatnya, anak-anak tidak seharusnya dibebankan untuk menghafal fakta dan maklumat sehingga murid, ibu bapa dan guru juga tertekan. Bukan tidak berlaku jadual waktu untuk mata pelajaran yang dianggap tidak begitu penting dan tidak diuji dalam peperiksaan digantikan dengan mata pelajaran peperiksaan.

Kita perlu sedar bahawa tiga sistem pendidikan terbaik di dunia pada 2020 ialah Finland, Denmark, dan Korea Selatan. Adakah negara terbabit mempunyai peperiksaan awam seperti UPSR sehingga diberi penarafan sedemikian?

Ketiga-tiga negara itu muncul sebagai sistem pendidikan terbaik dunia, antara lain kerana pencapaian dalam kemahiran membaca, serta skor tinggi dalam matematik dan sains.

Ya, Finland merupakan negara paling maju dan progresif dari segi sistem pendidikan di dunia mengalahkan Amerika Syarikat dalam bidang pembacaan, sains dan matematik. Jangan lupa, Finland juga diberi penarafan negara paling bahagia di dunia dan juga paling bebas dari segi amalan kebebasan akhbar.

Ramai yang tidak menyedari bahawa sistem pendidikan di negara itu menekankan pembelajaran melalui permainan, makanan untuk murid adalah percuma, malah guru sekolah rendah wajib memiliki kelayakan ijazah sarjana pendidikan. Mereka dipilih daripada 10 peratus siswazah terbaik.

Sistem pendidikannya tidak menekankan soal menyumbat maklumat dan fakta ke dalam benak pelajar, sebaliknya cuba mewujudkan persekitaran pembelajaran yang holistik dan menyeronokkan. Guru yang sama biasanya mengajar murid sehingga enam tahun.

Dengan itu, guru berkenaan dapat memainkan peranan sebagai mentor atau sebagai ahli keluarga. Kepercayaan dan keyakinan antara guru-murid dapat dipupuk dan dibina supaya kedua-dua pihak faham, kenal dan saling menghormati.

Di Finland tidak terdapat ujian standard, selain satu peperiksaan di sekolah tinggi ketika mereka berusia 16 tahun. Tidak terdapat penarafan, tiada perbandingan atau persaingan dalam kalangan murid, sekolah atau wilayah.

Guru menyediakan murid bagaimana untuk belajar, bukan bagaimana untuk menduduki peperiksaan — hakikat yang bertentangan dengan amalan kita.

Dalam sistem kita, kita bagai terlupa untuk mewujudkan suasana pembelajaran dan persekitaran yang menyeronokkan, harmoni dan sihat untuk murid. Kata kunci dalam sistem pendidikan mereka ialah keseronokan dan ‘santai’.

Murid hanya perlu mengikuti beberapa kelas sehari. Ada beberapa kali masa disediakan untuk makan, menikmati aktiviti riadah, dan bersantai. Murid sekolah rendah mempunyai 75 minit rehat sehari berbanding hanya 27 minit di Amerika Syarikat.

Finand merupakan negara yang memberi paling sedikit kerja rumah kepada pelajar di dunia. Mereka hanya perlu memperuntukkan setengah jam pada waktu malam untuk menyiapkan kerja sekolah.

Murid juga tidak ada tutor, dan mereka mempunyai segalanya untuk memastikan tugasan sekolah disiapkan di sekolah, tanpa bebanan tambahan. Tanpa perlu khuatir dengan markah, gred dan penarafan atau tekanan, mereka hanya perlu menumpukan perhatian kepada satu perkara — belajar, tumbuh dan berkembang sebagai manusia.

Yang menarik, berbeza daripada di negara kita, murid mulai belajar sekitar jam 9 pagi, kerana bagi kanak-kanak bangun dan pergi ke sekolah terlalu awal dianggap dapat menjejaskan kesejahteraan, kesihatan dan kematangan mereka. Namun, sekolah mereka berakhir sekitar pukul 2.30 petang.

Mereka mempunyai jadual yang lebih panjang untuk sesuatu mata pelajaran, tetapi waktu rehat yang panjang antaranya. Penekanan adalah kepada pertumbuhan yang seimbang, dengan aktiviti luar bilik darjah turut diutamakan.

Semua aktiviti dirancang sekitar kesejahteraan holistik murid, mendukung perjalanan pembelajaran dan pertumbuhan menyeluruh. Murid digalakkan mengalami laluan pembelajaran yang bersifat ‘personalized’ melalui sistem yang menekankan kelebihan dan kekuatan murid. Untuk enam tahun pertama, tidak ada peperiksaan langsung.

Perlu kita akui UPSR menyebabkan guru-guru dan ibu bapa memberi penekanan berlebihan kepada bagaimana untuk lulus peperiksaan, dan bukannya bagaimana untuk menyemai minat dan teknik belajar kepada murid. Kanak-kanak hilang sebahagian daripada zaman kanak-kanak mereka kerana sistem pendidikan yang terlalu menekankan ujian dan peperiksaan.

Tujuan akhir adalah murid lulus dengan ‘cemerlang’ supaya guru, ibu bapa dan sekolah bangga dan diberi penarafan yang baik. Adakah itu yang menjadi matlamat dan objektif sebenar kita?

Bagi saya, kita tidak seharusnya terlalu menekankan peperiksaan di peringkat terlalu awal. Kanak-kanak sepatutnya dipupuk untuk memperkembangkan bakat, potensi dan kemahiran asas menulis, mengira, dan membaca. Mereka perlu diajar untuk menerokai persekitaran mereka, termasuk hutan, sejarah, dan masyarakat di sekitar mereka

Maksudnya, aspek bahasa, kemahiran psikomotor, berinteraksi dan berkomunikasi amat penting dipupuk. Minat membaca harus disemai kukuh apatah lagi kebanyakan kanak-kanak kini lebih berminat bermain dengan telefon, dan tidak lagi berminat membaca buku cerita.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru