Thursday, September 23, 2021

Persatuan Pemikir Dayak sokong pemberian anugerah Datuk kepada Pandelela

Mesti baca

KUCHING: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (PPDS) menyokong sepenuhnya pemberian pangkat ‘Datuk’ kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong kerana merasakan beliau layak untuk mendapatkannya.

Kenyataan bersama Setiausaha Agung dan Penasihat Kewangan PPDS, Evelyn Julian dan Nelly Tawai memberitahu ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang meraih pingat emas acara 10 meter (m) platform individu wanita Piala Dunia FINA 2021 dan kemenangannya itu adalah satu keajaiban mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

“Pandelela mengumpul 355.70 mata untuk meraih emas menewaskan penerjun tuan rumah, Matsuri Arai di tempat kedua dengan 342 mata manakala Caeli Mckay dari Kanada ketiga, 338.55 mata.

“Beliau telah memberi inspirasi kepada belia terlibat dalam sukan yang sihat dan bukannya gejala sosial maka sebagai ‘ikon’ adalah wajar beliau dilantik sebagai duta belia bercakap mengenai kepentingan sukan kalangan belia,” kata mereka.

Tambah PPDS lagi, memenangi pingat itu bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ratu terjun kita telah membuktikan bahawa beliau boleh melakukannya.

“Kita juga melahirkan rasa kagum dan mengakui bahawa Pandelela membuktikan kepada dunia sebuah negara kecil juga boleh menjadi gergasi dalam sukan dunia.

“Pandelela membuktikan kepada negara-negara maju bahawa kita bukanlah pesaing biasa tetapi mampu memberi cabaran sengit kepada atlet terjun dari negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Rusia dan China yang mempunyai kemudahan paling lengkap dan jurulatih bertaraf dunia,” jelasnya.

Menurut PPDS lagi Malaysia juga membuktikan kepada dunia mempunyai keupayaan melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia meskipun tanpa kemudahan bertaraf antarabangsa.

“Pandelela meletakkan negara pada peta sukan akuatik, beberapa kali sejak beliau memperolehi pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, pingat gangsa Sukan Olimpik London empat tahun lalu menjadikannya atlet wanita pertama Malaysia berdiri di atas podium Olimpik menerima gangsa dalam individu platform 10m.

“Manakala pada Olimpik Rio, Pandelela dan rakannya dari Perak, Cheong Jun Hoong memenangi pingat perak dalam acara 10m berpasangan iaitu pingat pertama bagi kontinjen Malaysia pada kejohanan tersebut,” ujar mereka.

Pandelela merupakan atlet wanita pertama Malaysia dari Sarawak memenangi pingat Sukan Olimpik ( gangsa pada 2012 dan perak Olimpik Rio).

Pandelela Rinong terus mengharumkan nama Malaysia apabila dia memenangi pingat emas 10 meter (m) Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Tokyo.
Beliau, Pandelela Rinong merupakan ikon belia sebenar yang memberi inspirasi jutaan golongan muda di negara ini tanpa mengira latar bangsa dan agama.

Pandelela telah melakukan yang terbaik dalam acara sukan akuatik dan pencapaian beliau wajar diberi penghormatan serta tidak wajar bagi sesetengah pihak mengukur secara membuta tuli apa yang dicapai oleh beliau dalam sukan berkenaan.

Pandelela berjaya mengharumkan nama Sarawak serta mendapatkan penghormatan untuk negeri ini dan beliau layak memperolehi yang terbaik dalam kehidupannya sekali gus menjadi beliau terus cekal menyumbang lebih banyak kejayaan buat Sarawak masa depan.

Berbanding mereka diberi gelaran ‘Datuk’ dengan sebahagaiannya tidak pernah tahu apa sumbangan mereka, Pandelela pula sebaliknya.

Nicol Ann David, seorang rakyat Pulau Pinang adalah pemain skuasy profesional. Beliau mengungguli ranking nombor satu dunia dalam Skuasy Wanita sejak Januari 2006 di usia 23 tahun dan merupakan wanita Asia pertama mencapai tahap ini

Pada tarikh 12 Julai 2008, Nicol Ann David telah dianugerahkan Pingat Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Datuk sempena dengan Hari Keputeraan Gabenor Pulau Pinang, menjadikan beliau rakyat Pulau Pinang yang termuda mendapat gelaran Datuk pada usia 25 tahun.

Bukan rakyat Sarawak mahupun Malaysia sahaja namun seluruh dunia mengenali Pandelela Rinong anak kelahiran Bumi Kenyalang, Sarawak sebaik memenangi emas untuk Malaysia di Tokyo, Jepun.

“Jadi mengapa perlu ada perbincangan lanjut atau mempertikai permintaan rakyat sendiri mahukan beliau menerima gelaran itu,” kata PPDS lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru