Friday, July 30, 2021

Adakah Bersatu ada moral standing?, tanya Puad

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PBBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada ‘moral standing‘ untuk menegur kerajaan hari ini.

Jika begitu soal bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, apakah PPBM ada ‘moral standing’ untuk memerintah dan terus jadi kerajaan?

“Terbaharu ialah pendedahan Hamid Bador (Tan Sri Abdul Hamid Bador – bekas Ketua Polis Negara). Dia tuduh menteri dari PPBM melakukan banyak campur tangan politik dalam urusan PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Bahkan Hamid mendedahkan isu katak dalam PPBM. Dia dakwa isu katak babitkan soal rasuah. Hamid yakin, sebab itu dia minta SPRM siasat,” katanya melalui satu hantaran di Facebooknya.

“Lagipun apa ‘moral standing’ PPBM untuk terus jadi kerajaan? Majoriti kerajaan hari ini jadi tanda tanya,” soal beliau.

Desaknya lagi, jika parti tersebut bermoral, hendaklah segera mengadakan sidang Parlimen.

“Biar Parlimen tentukan majoriti sebenar kerajaan pimpinan PPBM,” katanya.

Tambahnya, itu belum lagi menyebut tentang kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memerangi COVID-19, memulihkan ekonomi dan mengatasi masalah rakyat yang kehilangan pekerjaan.

“Apakah Najib tidak ada ‘moral standing’ untuk menegur kerajaan hari ini yang gagal tarik pelabur asing dan kehabisan duit kerana tidak teruskan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)?

“Apatah lagi Kerajaan PN terus meningkatkan hutang negara, jual aset dan ambil duit KWAN (Kumpulan Amanah Wang Negara).

“Sebab itu UMNO tarik diri daripada Kerajaan PN,” katanya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru