Tuesday, May 11, 2021

Ziarah Hari Raya di zon PKPB di Sarawak untuk 7 hari saja

Mesti baca

KUCHING: Ziarah Hari Raya hanya dibenarkan di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja untuk keluarga terdekat.

Majlis Islam Sarawak (MIS) berkata tempoh ziarah adalah pada 1 syawal hingga 7 Syawal sahaja.

“Had pengunjung (keluarga terdekat) dalam sesuatu masa adalah 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, MIS berkata takbir Hari Raya turut dibenarkan di masjid dan surau, mulai selepas solat Maghrib 1 syawal (malam) dan tidak melebihi jam 10 malam serta selepas solat subuh 1 syawal (pagi) sehingga bermula solat sunat Aidilfitri.

Pada masa sama, katanya solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan di masjid, surau, musolla dan premis yang telah mendapat kebenaran MIS sahaja.

“Jemaah yang dibenarkan hadir untuk solat adalah mengikut bilangan jemaah dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau,” katanya.

Bagaimanapun, aktiviti ziarah kubur tidak digalakkan namun sekiranya tidak dapat dielakkan, hendaklah mematuhi garis panduan aktiviti ziarah pusara yang dikeluarkan pada 8 April lalu oleh MIS.

Antaranya hendaklah mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan pelitup muka, tidak bersalaman, tempoh ziarah satu pusara hendaklah tidak melebihi 20 minit serta bilangan kehadiran seramai lima orang ahli waris atau keluarga terdekat sahaja.

Manakala jamuan selepas solat Idilfitri di masjid atau surau, aktiviti takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka dan tahlil selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau adalah tidak dibenarkan.

Di zon atau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, semua aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru