Tuesday, May 11, 2021

Burasak Bugis Laila cukup istimewa

Mesti baca

SADONG JAYA: Sarawak memang kaya dengan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang berbilang kaum. Lantaran itu, tidak hairanlah, ramai pelancong malah rakyat tempatan sendiri menyifatkan negeri ini sebagai syurga makanan.

Seperti ketupat dan lemang yang menjadi juadah wajib masyarakat Melayu pada Aidilfitri, begitu juga burasak bagi masyarakat Bugis di Sarawak terutama di kawasan Sadong Jaya.

Burasak ialah sejenis masakan Bugis yang berasaskan beras dan santan. Ia biasanya dibuat semasa perayaan seperti Hari Raya, Aidiladha, Hari Gawai dan sebagainya.

Menariknya makanan tradisi itu, biarpun dilihat seperti mudah dimasak, namun nasi kukus bersantan sebenarnya memerlukan waktu lama untuk direbus iaitu antara lapan hingga 10 jam.

Ibu kepada enam anak, Laila Sado, 53, saban tahun menyediakan burasak untuk hidangan keluarga dan tetamu pada setiap kali perayaan.

Menurut Laila, lima keping burasak yang sudah siap dibungkus dan direbus dijual dengan harga RM5.

Selama 13 tahun menjual burasak, Laila mempunyai pelanggan tetap yang membuat tempahan awal terutama pada musim perayaan atau majlis-majlis tertentu.

Laila berkata, setiap kali minggu akhir Ramadan,  tempahan yang sangat luar biasa diterimanya bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah dari luar Sarawak.

“Seminggu sebelum raya, perniagaan menjadi semakin sibuk kerana ramai pelanggan yang menempah burasak untuk dijadikan hidangan di pagi Syawal.

“Semasa Ramadan tahun lalu, tempahan burasak yang diterima secara dalam talian amat memberangsangkan. Selain itu, tempahan dari luar kawasan akan dibungkus dengan rapi dan dihantar menggunakan perkhidmatan Pos Laju,” katanya  ketika ditemui.

Menurut Laila, dia mempelajari proses menghasilkan burasak daripada ibunya. Bermula dengan tempahan kira-kira 100 ikat pada hari biasa, kini tempahannya meningkat sebanyak tujuh kali ganda bukan sahaja pada musim perayaan malah sambutan tahun baharu.

“Saya mengusahakan perniagaan burasak bersama-sama suami dan saya amat bersyukur kerana perniagaan ini semakin dikenali ramai sekali gus membantu menambah pendapatan keluarga kami,” katanya.

Laila berkata, dia lebih gemar menggunakan cara tradisional memasak burasak iaitu kayu api berbanding memakai dapur gas bagi mendapatkan rasa lebih enak.

Katanya, burasak dimasak antara lapan hingga 10 jam bagi memastikan tekstur lebih lembut dan tahan lama sehingga lima hari tanpa dimasukkan ke dalam  peti sejuk.

“Lebih lama dimasak, struktur burasak lebih lembut, tidak mudah pecah dan boleh bertahan sehingga lima hari.

“Bagi kami, Hari Raya tidak meriah jika tiada burasak sebab dari kecil sudah dilatih untuk menyediakan hidangan itu setiap kali Aidilfitri,” katanya.

Proses penyediaan burasak tidak terlalu sukar iaitu memerlukan beras dikukus menggunakan santan hingga menjadi separuh masak, sebelum diletakkan di atas daun pisang muda, dibungkus dan diikat dengan tali rafia.

Selepas proses selesai, burasak direbus dan jika menggunakan dapur kayu, api perlu sentiasa dikawal dan air cukup sekali gus menjadikan proses itu agak rumit.

“Bagi yang tidak biasa memasak, tempoh merebus yang cukup lama memang jadi satu cabaran kerana api dan air perlu sentiasa dipantau, apatah lagi jika memasak menggunakan dapur kayu.

“Begitupun, ada petuanya. Nasi yang dimasak perlu disejukkan kira-kira sejam atau dua jam sebelum dibungkus bagi mengelakkan ia cepat basi,” kata Laila.

Daun pisang pula harus dipilih di bahagian pucuknya atau paling muda. Daun pisang yang tua tidak boleh digunakan kerana keras dan mudah koyak.

Secara Rawak

Artikel Terbaru