Tuesday, May 11, 2021

589,951 sudah terima dua dos vaksin

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Sebanyak 589,951 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menerusi akaun Twitternya pada Selasa berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 930,059 individu yang telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,520,010 dos setakat semalam.

Menurut infografik dikongsikan beliau, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 124,635 dos, Sarawak (94,157), Kuala Lumpur (91,765), Johor (84,220) dan Sabah (77,375).

Sementara itu setakat semalam 40.2 peratus atau 9,756,343 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,500,858 individu.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Secara Rawak

Artikel Terbaru