Tuesday, May 11, 2021

Hospital Medan ATM dibina di Kapit

Mesti baca

KUCHING: Markas 1 Divisyen akan mendirikan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Masyarakat Melayu di Kapit, yang terletak kira-kira lima kilometer dari Hospital Kapit.

Menurut Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen, ia bagi membantu pesakit-pesakit di kawasan Kapit mendapatkan rawatan kesihatan yang bukan melibatkan jangkitan Covid-19 seperti mana hospital medan ATM yang didirikan di Tawau, Sabah sebelum ini.

Justeru, katanya sepasukan pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja telah diatur gerak ke Kapit bagi meninjau keadaan dan keperluan bagi mendirikan hospital medan di sana.

“Elemen perubatan dari 1 Divisyen akan bergerak ke Kapit dalam minggu pertama Mei 2021.

“Kumpulan tinjauan telahpun berada ke Kapit untuk mengkoordinasikan keperluan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ini termasuk perancangan atur gerak anggota dan aset perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, kenyataan itu menyatakan keputusan menyediakan hospital medan di Kapit dibuat kerana Hospital Kapit merupakan hospital daerah berpakar yang mempunyai kapasiti terhad.

“Melihat kepada bilangan kes positif jangkitan Covid-19 yang meningkat mendadak di kawasan terbabit menyebabkan Hospital Kapit menghadapi kekangan
menampung jumlah pesakit dalam satu-satu masa,” katanya.

Penyediaan hospital medan di Kapit dibuat susulan kenyataan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk membuka hospital medan di Sarawak dan Kelantan yang kini menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru