Tuesday, May 11, 2021

Najib hairan hasil kerajaan lebih rendah, perbelanjaan tinggi

Mesti baca

KALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat hairan kenapa hasil kerajaan bagi suku pertama tahun ini adalah jauh lebih rendah manakala perbelanjaan kerajaan pula lebih tinggi berbanding suku kedua  tahun lalu.

Ini kerana katanya memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 adalah separuh masak dengan banyak kelonggaran bagi sektor-sektor ekonomi, harga minyak telah memulih hampir tiga kali ganda dan bantuan bagi PKP 2.0 tidak seberapa.

“Akibatnya, defisit kerajaan bagi suku pertama  tahun 2021 semasa darurat dilaksanakan adalah paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

“Suku kedua  tahun 2020 (PKP 1.0): Hasil kerajaan: RM56.5 bilion. Perbelanjaan kerajaan: RM81.0 bilion. Defisit kerajaan RM24.6 bilion.

“Suku pertama tahun 2021 (PKP 2.0): Hasil kerajaan: RM49.5 bilion. Perbelanjaan kerajaan: RM86.6 bilion. Defisit kerajaan RM37.1 bilion,” kata bekas Menteri Kewangan itu dalam satu hantaran di Facebooknya.

Menurut Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, suku kedua tahun 2020 adalah antara suku tahun paling mencabar dalam sejarah Malaysia di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara rosot 17.1%, iaitu kejatuhan paling tinggi dalam ASEAN.

“Hasil kerajaan juga terjejas masa itu akibat kejatuhan teruk harga minyak, kejatuhan mendadak perbelanjaan rakyat dan penutupan hampir semua sektor perniagaan. Masa itu, PKP 1.0 yang sangat ketat dilaksanakan tetapi bantuan kerajaan kepada rakyat untuk menghadapi PKP adalah paling tinggi,” tegasnya.

Begitu juga katanya, perlu ingat bahawa defisit keseluruhan tahun 2020 ialah RM86.5b (2019: RM51.5b) manakala jumlah defisit diluluskan dalam Bajet 2021 adalah RM84.8b.

“Ini baru masuk suku pertama (3 bulan), defisit kerajaan dah sebanyak 44% daripada defisit RM84.8b bagi keseluruhan bajet tahun 2021 yang diluluskan?

“Jika trend defisit suku 1 diteruskan, defisit bagi keseluruhan tahun 2021 akan melepasi RM148 bilion (iaitu RM64b lebih tinggi berbanding unjuran dalam bajet 2021) yang keseluruhannya akan dibiayai melalui penambahan hutang negara,” jelasnya.

Katanya lagi, hasil kerajaan suku 1 tahun 2021 sebanyak RM49.5b pula di bawah unjuran dan hanya 21% daripada andaian kerajaan bagi keseluruhan tahun 2021 sebanyak RM236.9 bilion.

“Adakah ini akibat pelaburan asing tak masuk masa darurat?

“Sebab itu, ianya penting bahawa perbelanjaan kerajaan dipantau dalam Parlimen tapi akta kewangan kerajaan digantung melalui Ordinan Darurat pulak.

“Akibatnya hasil kerajaan menjunam manakala perbelanjaan kerajaan dan defisit kerajaan pecah rekod pada ketika bantuan untuk rakyat bagi PKP 2.0 tak seberapa,” katanya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru