Saturday, December 4, 2021

Menteri mesti tahu tentang kuasa dan had kuasa

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sistem tatakelola kerajaan yang sebaiknya ialah perkhidmatan awam itu bebas dari politik, namun berfungsi melaksanakan dasar yang digubal oleh eksekutif yang terdiri daripada kalangan ahli politik yang mendapat mandat melalui pilihan raya, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, operasi kerajaan adalah urusan penjawat awam dan terpulang kepada mereka untuk mengelolakannya manakala idealnya tiada campur tangan politik dalam perkara operasi kerajaan.

“Namun dasar yang dilaksanakan mestilah dasar yang digubal oleh Jemaah Menteri dan menepati aspirasi kerajaan yang dipilih secara demokratik.

“Perkhidmatan awam yang bebas adalah sangat penting. Tanpa kebebasan, profesionalisme perkhidmatan awam akan dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Namun pemisahan total perkhidmatan awam dari campurtangan politik, memerlukan profesionalisme di kedua-dua pihak berada pada tahap paling tinggi,” katanya.

Katanya, menteri mesti maklum dan tahu tentang kuasa dan had kepada kuasanya serta perkhidmatan awam pula mesti tahu tugas utama mereka, iaitu menterjemahkan dasar dan aspirasi kerajaan dengan profesional dan setulusnya.

“Perkhidmatan awam tidak boleh lari dari ‘scrutiny’ awam. Ia adalah sistem yang dibiayai oleh dana awam…maka standard akuantabiliti kepada rakyat adalah semaksima mungkin.

“Kerana itu perlu ada pelbagai mekanisme bebas untuk menyiasat, menyemak dan mengemukakan pembaharuan kepada perkhidmatan awam dari masa ke semasa.

“Pertentangan terbuka antara penjawat awam dengan menteri akan dapat dielakkan jika profesionalisme kedua-dua pihak adalah pada tahap tertinggi,” katanya lagi.

Ulasnya juga, Malaysia masih mempunyai ‘jurang tadbir urus’ yang sangat ketara antara perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan sektor swasta.

“Sektor swasta di Malaysia telah jauh ke hadapan dalam memperbaiki tatakelola korporat dan perniagaan mereka, melalui sistem kawalselia yang aktif dan ‘rigorous,” katanya lagi.

“Ruang penambahbaikan sistem tatakelola kerajaan masih sangat luas. Maka usaha ke arah itu mesti segera digiatkan demi perkhidmatan awam yang bebas dan berkelas dunia, Insya-Allah,” tegas beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru