Tuesday, May 11, 2021

Amalkan SOP ketat kerana libatkan nyawa

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru orang ramai untuk amalkan SOP yang ketat kerana melibatkan nyawa.

Katanya, gunakanlah kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk manfaat bersama dengan menjaga penjarakan sosial, cuci tangan dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Sejak minggu lalu kita dilaporkan dengan peningkatan kes harian COVID-19 yang dilihat amat membimbangkan. Statistik menunjukkan ia menghampiri 4,000 kes sehari.

“Semalam ada pula perkhabaran yang lebih merisaukan apabila negara merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India. Difahamkan mutasi berganda yang dikenali B.1.617.1 itu disaring di KLIA dari seorang rakyat India,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebooknya, hari ini.

Soalnya, bagaimana rakyat India berkenaan boleh berada di Malaysia beliau tidak tahu.

“Menurut laporan media mutasi itu dikenalpasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS) selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara.

“Saya juga difahamkan mutasi itu menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan besar-besaran yang berlaku di India ketika ini. Virus ini dikatakan sudah menular di 17 negara. Maka ianya bukan perkara main-main dan kerajaan perlu menyekat segera kemasukan mutasi terbabit.

“Selain varian B.1.617.1, kita juga menerima makluman bahawa varian lain seperti Varian Afrika Selatan. B.1.351 dan varian United Kingdom B.1.1.7 turut menular di Kelantan serta Perak,” katanya.

Dalam situasi yang serba mencabar ini, beliau mengharapkan orang ramai dan peniaga menjaga diri serta keluarga.

“Jika mengalami simptom demam, batuk dan selsema adalah lebih elok berada di rumah,” ujarnya.

“Ketika Ramadan berbaki hanya sembilan hari lagi, saya melihat orang ramai sudah membanjiri ibu kota untuk membeli belah. Ia berlaku dalam keadaan yang sesak seperti tiada penjarakan sosial. Begitu juga di bazar Ramadan. Dapat dilihat pengunjung berhimpit dan boleh menyebabkan virus merebak dengan cepat,” katanya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru