Saturday, May 8, 2021

67 peratus kes di Sarawak dikesan di lima daerah

Mesti baca

KUCHING: Kes positif Covid-19 di Sarawak terus meningkat apabila sebanyak 587 kes baharu dan dua kes kematian direkodkan, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 31,691 kes dan 182 kes kematian akibat Covid-19.

“Sejumlah 67 peratus daripada kes pada hari ini dikesan di Daerah Mukah, Bintulu, Sibu, Kanowit dan Kuching.

“Daerah yang merekodkan kes pada hari ini termasuk Mukah (175), Bintulu (61), Sibu (57), Kanowit (56), Kuching (45), Kapit (37), Miri (30), Sri Aman (25), Sebauh (20), Song (14), Pakan (9), Serian (8), Meradong (7), Subis (7), Bau (6), Betong (5), Beluru (5), Tebedu (4), Lundu (4), Tanjung Manis (3), Matu (2), Samarahan (2), dan satu kes masing-masing di Tatau, Marudi, Julau, Dalat, dan Simunjan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut JPBN, daripada 587 kes baharu yang dilaporkan, seramai 47 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Manakala, seramai 523 orang adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai dua kes kematian hari ini, JPBN mendedahkan kes kematian ke-181 adalah kes positif ke-30,157 yang melibatkan seorang perempuan rakyat Sarawak berumur 82 tahun.

“Kes ditemui tidak sedarkan diri di rumah oleh ahli keluarga pada 25 April dan dibawa ke Hospital Mukah sebelum disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

“Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan kencing manis dan dikesan melibatkan Kluster Sungai Nirai, Selangau,” ujarnya.

JPBN menambah, kes kematian ke-182 adalah kes positif ke-30,982 yang melibatkan seorang perempuan rakyat Sarawak berumur 88 tahun.

“Kes telah mendapat rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami sesak nafas serta mengalami gejala muntah dan kelesuan badan beberapa hari yang lepas.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 1 Mei lalu serta mempunyai ko-morbid penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis,” katanya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru