Tuesday, June 22, 2021

Tekanan hebat buat kanak-kanak

Mesti baca

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) bersetuju dengan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) serta pembatalan Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) pada tahun ini.

Presidennya Adam Parkash Abdullah berkata, STU mengambil maklum pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pendidikan (KPM) Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkaitan kedua-dua perkara itu.

“Kami sangat bersetuju UPSR ditamatkan kerana peperiksaan UPSR ini memberi tekanan yang sangat hebat kepada murid, guru dan ibu bapa yang berusaha untuk mencapai kecemerlangan untuk tujuan masing-masing.

“Justeru, dengan pemansuhan UPSR mulai tahun ini, kita berharap murid akan lebih seronok belajar tanpa tekanan serta guru selesa untuk mengajar kerana tiada tekanan sasaran capaian daripada pengurusan sekolah.

“Bukan itu sahaja, ibu bapa tidak lagi menidakkan masa bermain anak-anak kerana mereka perlu bermain dengan rakan untuk pembangunan sosial mereka,” katanya kepada baru-baru ini.

Adam menambah, bagaimanapun KPM akan menyediakan penilaian khas untuk sekolah khusus sekiranya anakanak ingin menyertai sekolah tersebut.

“Ini ada adil kerana tiada pelajar akan dipaksa memasuki sekolah tersebut kecuali yang benar-benar berminat dan kita berharap tiada paksaan daripada ibu bapa,” jelasnya.

Mengulas lanjut berkaitan PT3, beliau menjelaskan STU bersetuju peperiksaan tahun ini dibatalkan memandangkan pelajar terbabit telah tidak hadir ke sekolah buat jangka masa yang agak lama pada tahun lepas.

“Mereka perlu dibimbing dengan sebaik mungkin dan memaksa mereka untuk menduduki PT3 pada masa mereka kurang persediaan adalah tidak adil.

“Namun, pihak sekolah mempunyai mekanisme alternatif untuk menilai pelajar bagi mengetahui tahap penguasan ilmu mereka,” ujarnya.

Adam memberitahu, STU berharap ibu bapa memberi kepercayaan penuh terhadap kerja guru dan tidak mempersoalkan kesahihan markah yang diberi dalam penilaian yang dibuat oleh guru.

“Guru merupakan golongan profesional yang terlatih untuk melaksanakan penilaian untuk pelajar dan tugasan guru juga dipantau dengan teliti oleh pihak pengurusan sekolah.

“STU berharap semua pihak menerima pengumuman ini dengan pemikiran positif dan terus memberi sokongan kepeda sistem pendidikan kita,” tambah beliau lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru