Tuesday, May 11, 2021

Risiko kemalangan pekerja P-hailing membimbangkan, mereka perlu dibela

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan  berkata telah tiba masanya kebajikan kumpulan pekerja penghantaran barangan dan makanan (p-hailing) dibela dan diberikan perhatian segera.

Menurut beliau, perlindungan menyeluruh oleh penyedia perkhidmatan p-hailing mesti diwujudkan dan galakan caruman keselamatan sosial dan saraan mesti dijadikan keutamaan.

“Syarikat penyedia perkhidmatan mesti tampil dengan manfaat pekerjaan yang setimpal dengan titik peluh dan dedikasi pekerja mereka serta memastikan keselamatan pekerja menjadi keutamaan. Kerajaan pula mesti terus memperbaiki kerangka regulasi perkhidmatan ini agar ia sesuai dengan standard amalan buruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan bahawa pandemik Covid-19 menjejaskan kestabilan sosioekonomi masyarakat Malaysia dan bebanan ini amat dirasai oleh dengan pekerjaan p-hailing menjadi pilihan ramai kerana syarat bekerja yang mudah dan permintaan perkhidmatan yang tinggi oleh orang ramai.

“Fleksibiliti masa dan purata pendapatan sebanyak RM400 – RM700 seminggu juga menyumbang kepada faktor peningkatan permintaan pekerjaan p-hailing dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia merekodkan tren pendaftaran sehingga 200 penunggang baharu p-hailing setiap hari sejak mulanya pandemik Covid-19,” katanya.

“Walaubagaimanapun risiko kemalangan dan kematian di jalan raya di kalangan pekerja p-hailing semakin membimbangkan. Apatah lagi bila kebanyakan mereka berlumba-lumba dengan pantas untuk meraih ‘trip’,” katanya lagi

Beliau turut berpesan kepada para rider berikutan sumbangan dan kerja keras yang sangat kami hargai.

“Sentiasalah berhati-hati dan menjaga keselamatan. Insyallah, rezeki pasti ada jika kita terus menjaga keselamatan dan nyawa diri sendiri demi keluarga dan kelangsungan hidup,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru