Tuesday, May 11, 2021

Kantoi cuba menipu pembelian bahan binaan rumah

Mesti baca

KUCHING: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuching semalam, atas dua pertuduhan kes penipuan yang dilakukannya pada Mac lalu.

Tertuduh yang berusia 29 tahun sebelum ini telah ditangkap pada 21 April lalu oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata dua kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dibuka terhadap tertuduh, yang melibatkan dua mangsa dengan nilai kerugian berjumlah kira-kira RM10,270.

“Hasil siasatan tertuduh telah memperdayakan mangsa untuk membuat pembayaran tunai dan memasukkan wang ke akaun bank milik tertuduh kononnya bagi pembelian bahan binaan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pendakwaan dijalankan di Mahkamah Majistret 2 dan Mahkamah Majistret 3 Kuching di hadapan Majistret Zaiton Anuar dan Pendaftar Mahkamah Morni Lita Mokhtar.

Bagaimanapun, Maria berkata tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Katanya Zaiton telah menawarkan sebanyak RM5,000 bagi ikat jamin mahkamah kepada tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, dan tarikh sebutan semula kes adalah pada 10 Mei nanti.

Manakala Morni menawarkan sebanyak RM1,000 bagi ikat jamin tunai kepada tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, dan tarikh sebutan semula kes adalah pada 30 April ini.

Secara Rawak

Artikel Terbaru