Tuesday, May 11, 2021

Menteri: Kerajaan komited laksanakan undi 18 tahun

Mesti baca

PUTRAJAYA: Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada  2019, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Menurut  Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hal ini telah dibincangkan dan disahkan dalam mesyuarat kabinet pada 28 April 2021 dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan.

“Adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mahupun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Secara Rawak

Artikel Terbaru