Tuesday, May 11, 2021

Covid-19: Peniaga perlu cara baru berniaga

Mesti baca

SIBU: Komuniti peniaga yang terlibat dalam perniagaan yang tidak disenaraikan dalam sektor perkhidmatan penting di bandar Sibu disarankan supaya menggunakan pendekatan atau cara baharu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Saranan ini dibuat oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh ketika bersiaran langsung menerusi laman sosial rasmi MPS yang berbicara mengenai sektor-sektor perniagaan yang dibenarkan berniaga pada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Khususnya (PKPK) yang dilaksanakan di Bahagian Sibu, semalam (Selasa).

Turut bersamanya ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Michael Tiang.

Beliau memberitahu dengan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 17 Mei depan maka SOP PKPK akan turut terpakai pada tempoh tersebut memandangkan telah mendapatkan kelulusan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Sebelum ini, SOP PKPK hanya sampai 10 Mei tetapi JPBN telah mengumumkan ia dilanjutkan lagi sehingga 17 Mei susulan situasi pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan di negeri ini.

“Ini bermaksud, kita di Sibu termasuk daerah Selangau dan Kanowit akan menggunapakai SOP PKPK.

“Saya tahu ini banyak menjejaskan ramai orang khususnya komuniti peniaga yang bukan dari sektor perkhidmatan penting,” ujar beliau.

Rentetan itu, beliau berharap golongan peniaga berkenaan dapat mencari sesuatu yang boleh membuatkan perniagaan mereka berjalan seperti biasa.

“Misalnya, berniaga mengikut norma baharu ketika ini iaitu atas talian. Buat sesuatu yang kreatif dalam mempromosikan produk anda. Ada banyak cara jangan putus asa.

“Saya faham keadaan anda tetapi pelaksanaan SOP PKPK ini adalah usaha kita dalam memerangi COVID-19,” ujar beliau.

Ting memberitahu situasi COVID-19 di Sibu bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan terkawal atau masih dibawah kawalan.

Katanya, keadaan makin hari makin parah serta membimbangkan.

“Sampai bila lagi komuniti peniaga yang disenaraikan bukan dalam sektor perkhidmatan penting nak hidup, macam mana anda nak teruskan.

“Pandemik COVID-19 ini susah kita nak meramal sampai bila ia akan berakhir. Oleh itu, saya sarankan anda yang terjejas ni buat sesuatu yang boleh membuatkan perniagaan anda bergerak atau guna pendekatan baharu untuk berniaga.

“Kalau keadaan terus begini, kita bimbang banyak yang akan gulung tikar. Saya rasa banyak platform untuk kita berniaga,” tegas beliau.

Ting turut memberi contoh seperti peniaga di Pasar Sentral Sibu yang kini perniagaan mereka rugi hampir 99 peratus tetapi mereka menggunakan cara baharu untuk berniaga.

Menurut beliau, cara baharu yang dimaksudkan ialah mereka meletakkan hasil jualan mereka seperti sayur, ikan dan daging di kedai-kedai runcit untuk dipasarkan.

“Mereka tidak pergi ke Pasar Sentral Sibu lagi untuk berniaga dan melakukan kerjasama dengan pemilik-pemilik kedai runcit ini untuk memasarkan hasil mereka.

“Ini satu pendekatan baharu yang saya lihat amat berkesan sekali memandangkan orang sekarang tidak mahu pergi ke tempat-tempat sesak dan sudah semestinya kedai runcit adalah menjadi pilihan sekarang.

“Oleh itu, kita dapat melihat sesebuah kedai runcit di Sibu ada menjual pelbagai jenis sayuran, ikan dan daging segar, semuanya itu dibekalkan dari peniaga atau penjaja dari sesebuah pasar basah dan kering di sini,” ujar beliau.

Ting menjelaskan itu adalah salah satu contoh walaupun sektor makanan disenaraikan dalam sektor perkhidmatan penting tetapi ia tidak bermakna perniagaan yang disenaraikan dalam sektor tidak penting tidak dapat bergerak.

“Saya bimbang banyak komuniti peniaga menghubungi saya memberitahu mahu memohon untuk berniaga. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) telah mengeluarkan SOP PKPK sebelum ini dan saya rasa ia sudah jelas.

“Saya sarankan anda supaya tabah dan gunakan pendekatan baharu. Kita tidak tahu sampai bila lagi keadaan ini berakhir, vaksin pun tidak seratus peratus sebagai jalan penyelesaiannya untuk memerangi wabak ini.

“Oleh itu, bersedialah menggunakan cara baharu. Tiada jalan lain lagi,” ujar beliau.

Secara Rawak

Artikel Terbaru