Tuesday, May 11, 2021

Naib presiden Petronas puji Jepun atas kejayaan Dasar Pandang Ke Timur

Mesti baca

KUALA KUMPUR: Dasar Pandang Ke Timur yang dilaksanakan oleh Malaysia kini berusia hampir 40 tahun dan kira-kira 28,000 warga tempatan menjadi penerima manfaatnya dengan menimba pengetahuan mengenai teknologi serta etika kerja Jepun, sekali gus menjadi pendorong utama  terhadap perindustrian negara.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG (Gas dan Teknologi Baharu) Petronas, Shamsairi Mohd Ibrahim, juga tidak terkecuali mengimbau kenangan beliau mengikuti pengajian ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal di Jepun selama empat tahun di bawah dasar tersebut.

Beliau menyifatkan dasar tersebut sebagai amat berani kerana mengalihkan tumpuan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun serta  rakyatnya daripada berteraskan Barat kepada Timur.

Malah, katanya, dasar berkenaan turut memberi sumbangan besar terhadap hala tuju perindustrian Malaysia menerusi pertumbuhan positif saban tahun yang turut dipacu oleh sokongan padu kalangan pelabur Jepun.

“Sebagai contoh, lihat sahaja pelaburan langsung asing Jepun ke Malaysia yang mana mereka (pelabur Jepun) telah membuat pelaburan secara konsisten. Bagi saya, inilah sumbangan mereka terhadap Dasar Pandang Ke Timur yang turut membantu meletakkan kita di kedudukan sekarang,” katanya kepada Bernama.

Shamsairi berkata, sejak hari pertama penubuhan syarikat minyak dan gas negara itu, ‘titisan pertama minyak’ tersebut telah dieksport ke syarikat-syarikat Jepun dan negara itu turut menjadi tumpuan, terutama dari segi pemasaran gas asli cecair (LNG) Malaysia.

“Menerusi hasil daripada loji LNG pertama kita yang ditauliahkan pada 1983, kesemua volum itu telah dibeli oleh Tokyo Electric yang pada masa itu dikenali sebagai Tokyo Gas, disokong oleh Mitsubishi Corporation. Bermula daripada eksport awal sebanyak enam juta tan, angka itu pada hari ini telah mencecah hampir 33 juta tan setahun yang memberi hasil konsisten untuk Malaysia bagi membolehkan negara ini terus mencatat kemajuan seterusnya,” katanya.

Mengulas sejarah pelaburan Jepun di Malaysia, Shamsairi berkata usaha tersebut bermula seawal 1957 yang menyaksikan tekstil sebagai produk pertama dalam senarai dan ini disusuli oleh elektrikal dan elektronik sebagai penyumbang yang menawarkan banyak ruang untuk dimanfaatkan oleh pihak industri Jepun, termasuk farmaseutikal dan petrokimia.

Di Pengerang, Johor, misalnya, kerajaan telah memperuntukkan tanah seluas kira-kira 25,000 hektar yang mana Petronas menumpukan 6,300 hektar dan mempelawa rakan dari Jepun untuk turut melabur.

“Bidang elektrikal dan elektronik telah mencecah tahap matang tertentu dan terdapat bidang lain yang menarik kehadiran berterusan pelabur Jepun ke negara ini. Sebagai contoh, di Pulau Pinang terdapat Toray Textile manakala di Kuantan, Pahang, pula ada Kaneka yang semakin berkembang. “Terdapat banyak peluang untuk syarikat Jepun terus berkembang di negara ini,” katanya.

 Berbicara mengenai dirinya, Shamsairi berkata, sebagai ‘produk’ Jepun, beliau sendiri hampir bekerja dengan sebuah syarikat Jepun di Shah Alam, Selangor, sejurus tamat pengajian namun sebaliknya berkhidmat di Petronas.

Beliau merupakan seorang pemimpin penuntut di Jepun pada masa itu apabila Petronas ke Jepun bagi menjalankan aktiviti pekerjaan dan Duta Besar Malaysia ke Jepun (ketika itu), Tan Sri Khatib Abdul Hamid meminta beliau mempertimbang untuk menyertai syarikat tersebut.

“Keputusan itu amat sukar kerana latar belakang pengajian saya adalah mekanikal. Tawaran kerja dengan Petronas pada masa itu adalah sebagai eksekutif pemasaran. Ini melibatkan dua bidang berbeza tetapi beliau begitu bersungguh-sungguh, begitu juga ibu bapa saya yang mahukan saya menyertai Petronas dan itulah yang mendorong keputusan saya,” katanya.

Shamsairi turut memuji budaya kerja rakyat Jepun serta sistem nilainya yang mungkin asing bagi kalangan rakyat Malaysia yang berpeluang melanjutkan pengajian ke negara-negara Barat.

Tegasnya, budaya kerja Jepun adalah mengenai bekerja secara gigih, disiplin, saling menghormati dan amat fokus terhadap aspek butiran atau perincian. Bersandarkan perkara sedemikian, katanya, rakyat Malaysia yang mengikuti pengajian di Jepun akan mengalami pengalaman dan cabaran dalam ‘pakej berbeza.’

“Bayangkan, Jepun pernah musnah dalam Perang Dunia Kedua dan bagaimana negara itu serta rakyatnya dapat bangkit semula. Walaupun Jepun adalah sebuah negara yang kerap mengalami bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan taufan, ia kekal kuat.

“Rakyatnya juga sedar bahawa apa juga yang berlaku, mereka perlu menerimanya dan kembali bangkit (untuk meneruskan kehidupan),” katanya. — BERNAMA

Secara Rawak

Artikel Terbaru