Tuesday, May 11, 2021

Geng Nicky: 10 pegawai polis, 2 pegawai SPRM ditahan

Mesti baca

Seramai 12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang yang didalangi ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee ditahan di beberapa negeri setakat hari ini.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berusia lingkungan 35 hingga 49 tahun.

Ayob berkata mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, pada 21 April hingga hari ini menerusi Ops Pelican 3.0 Fasa 2.

“Tangkapan melibatkan dua pegawai berpangkat Superintendan (Supt) yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Inspektor di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Tiga lagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, masing-masing berpangkat Deputi Superintendan (DSP) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Superintendan (ASP) (Cawangan Khas) dan Inspektor di JSJ IPK manakala seorang bertugas sebagai Inspektor di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor hari ini seperti dilapor Bernama.

Ayob Khan berkata tangkapan turut melibatkan seorang pegawai berpangkat DSP yang bertugas di JSJ, IPD Melaka Tengah manakala di IPK Kuala Lumpur pula melibatkan dua pegawai berpangkat ASP masing-masing bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di IPD Sentul.

Menurutnya, tangkapan di IPK Negeri Sembilan pula melibatkan pegawai berpangkat Inspektor bertugas di Pulapol Air Hitam sementara tangkapan di SPRM pula melibatkan dua pegawai berpangkat Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa SPRM di Putrajaya.

Dia berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma.

Tangkapan terbaharu itu menjadikan seramai 64 individu sudah ditahan disyaki terlibat dengan kumpulan Geng Nicky, tambahnya seperti dipetik Bernama.

Secara Rawak

Artikel Terbaru