Tuesday, May 11, 2021

Sidang Parlimen diadakan segera apabila tiba masa sesuai

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan  berkata kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera diadakan apabila tiba masa yang sesuai sama ada sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Namun, jelas beliau, tindakan itu bergantung pada nasihat dan pandangan pakar daripada semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan negara (MKN).

Kata beliau, pada masa ini, langkah pengawalan dan pencegahan wabak berbahaya ini masih berterusan dilakukan oleh kerajaan dengan seluruh jentera pihak berkuasa memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan pelan vaksinasi yang berterusan.

Kerajaan juga, jelas Takiyuddin, menyedari tanggungjawab berperlembagaan untuk memastikan proses demokrasi terus berjalan di negara ini dan terjamin melalui sidang Parlimen.

“Kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti-parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 yang belum reda sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media.

“Namun keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen,” kata Takiyuddin  lagi.

“ Tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC),” jelasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru