Tuesday, May 11, 2021

Mengapa tak ada waktu membaca buku?

Mesti baca

Tiga hari lepas kita menyambut Hari Buku Sedunia dan Hari Hak Cipta Sedunia. Hari Buku Sedunia ialah hari yang dikhususkan oleh Unesco untuk meraikan hak cipta, menerbitkan buku dan membaca.

Hari ini diperhatikan setiap tahun pada 23 April, dan semua negara anggota PBB dikehendaki mematuhi dan meraikannya.

Bagi sebahagian besar orang, hari berkenaan mungkin tidak membawa sebarang makna, malah mereka tidak sedar pun kehadiran dan kepentingan tarikh berkenaan.

Cadangan peringatan Hari Buku Sedunia sebenarnya dikemukakan penulis Valencia Vicente Clavel Andres sebagai wadah untuk menghormati penulis terkemuka, Miguel de Cervantes, yang terkenal dengan karyanya Don Quixote.

Penulis tersebut meninggal dunia pada 23 April sehingga Unesco kemudian menetapkan Hari Buku Sedunia pada tanggal ini. Selain itu, penulis terkenal lainnya, William Shakespeare dan Inca Garcilaso de la Vega juga meninggal dunia pada tanggal yang sama. Shakespeare meninggal dunia pada 23 April 1616, tarikh yang sama dengan catatan kematian Cervantes.

Tarikh 23 April ditetapkan sebagai Hari Buku Sedunia dan Hak Cipta Dunia pada Persidangan Umum Unesco di Paris pada 1995.

Hari Buku Sedunia dan Hari Hak Cipta dirayakan di seluruh dunia untuk mengenali ruang lingkup buku sebagai penghubung masa lalu dan masa depan, selain menjadi jambatan budaya dan generasi.

Pada Hari Buku Sedunia, biasanya Unesco akan memilih World Book Capital selama satu tahun untuk mempertahankan perayaan buku dan membaca. Ibu kota Kuala Lumpur diangkat sebagai Kota Buku Dunia pada tahun lepas dalam keadaan negara baru dilanda pandemik Covid-19 sehingga segala acaranya terpaksa diadakan secara maya.

Di tengah-tengah kita berdepan cabaran pandemik Covid-19, dunia buku juga turut mengalami musim lara. Dunia buku begitu kelam tanpa acara pesta buku seperti selalunya.

Untuk melihat kesan pandemik berkenaan, kunjungi sahaja mana-mana kedai buku di negara ini. Tidak banyak peminat yang mengunjunginya. Kedai buku bagai merintih dan menderita dalam diam.

Sebagai peminat buku dan pengumpul buku — yang telah membeli dan menghimpunkan sekurang-kurangnya 11,000 buku — saya berasa amat sedih melihat keadaan ini. Yang lebih menyedihkan, ada kedai buku di negara ini sudah tutup.

Setiap kali ada kedai buku tutup, begitu banyak persoalan bangkit dalam fikiran saya.

Adakah buku sudah tidak berguna lagi ketika manusia taasub dengan bahan bacaan atas talian? Adakah rakyat negara ini sudah tidak lagi berminat membaca buku? Atau buku yang diterbitkan gagal memenuhi cita rasa dan keperluan pembaca?

Jika ditanya pelajar dan mahasiswa, pasti mereka akan memberitahu anda, mereka memperuntukkan lima hingga enam jam sehari untuk mengakses Facebook dan media sosial lain, berbanding membaca buku.

Tanya mereka, berapa banyak buku yang dibeli dan dibaca sepanjang berada di universiti? Bersedialah untuk menerima jawapan yang mengecewakan.

Sepatutnya, kita membaca sekurang-kurangnya membaca sebuah buku dalam seminggu untuk antara lain, menjadi orang yang berilmu, meningkatkan kemahiran analitis dan daya ingatan, mengurangkan kemungkinan dijangkiti Alzheimer, mememperkaya kosa kata serta mengurangkan tahap stres. Masalahnya, rakyat kita tidak banyak membaca.

Negara kita bukan antara negara yang kadar pembacaan rakyatnya tinggi.

India berada di tangga teratas dengan rakyatnya purata membaca 10.42 jam seminggu, Thailand (9:24), China (8:00), Filipina (7:36), Mesir (7:30), Sweden (7:06), Perancis (6:54), Hungary (6:48), Arab Saudi (6:48), dan Hong Kong (6:42).

Pada 1820, hanya 12 peratus manusia di muka bumi celik huruf dan dapat membaca dan menulis. Hari ini 86 peratus manusia di planet bumi ialah celik huruf tetapi kadar membaca masih belum membanggakan.

Di negara kita lebih 95 peratus rakyat celik huruf, tetapi berapa orang yang menjadikan membaca sebagai satu amalan harian? Hakikatnya, selepas lulus peperiksaan, termasuk siswazah universiti, membaca bukan lagi menjadi kewajipan.

Buku sentiasa diterbitkan setiap saat di dunia ini. Kalaulah anda perlu membaca semua buku yang pernah diterbitkan sejak mesin Guttenberg dicipta, anda memerlukan lebih daripada 200 tahun untuk menghabiskan semua buku berkenaan, dan 15 tahun hanya untuk membaca tajuknya sahaja.

Ya, kita perlu menerbitkan lebih banyak buku, termasuk berkaitan kearifan tempatan. Tetapi Malaysia masih lagi jauh daripada mencapai sasaran ditetapkan Unesco, iaitu menerbitkan satu peratus daripada jumlah penduduk. Sepatutnya kita menerbitkan sekitar 32,000 judul buku berbanding sekarang sekitar 19,000 judul setahun.

Ketika ini negara teratas dari segi penerbitan buku ialah China (440,000), Amerika Syarikat (304,912), United Kingdom (184,000), Jepun (139,078), Rusia (101,9812), Jerman (93,600), dan India (90,000). Dari segi perniagaan, saiz pasaran industri buku dunia ialah US$119 bilion setahun, dengan 10.4 peratus adalah dalam bentuk e-book.

Atau mengapa tidak membaca buku terlaris pada 2020, iaitu Where the Crowdads Sing karya Delia Owens, My First Learn to Write Workbook oleh Crystal Radke, The Room Where It Happened: A White House Memoir nukilan John Bolton atau As Animals Kissed Good night karya Anna Whitford Paul.

Atau mengapa tidak membaca buku yang telah meramalkan akan berlaku ancaman Coronavirus seperti End of Days (2008) karya Sylvia Browne dan Eyes of Darkness (1981) oleh Dean Koontz?

Jangan cari alasan, tidak ada masa untuk membaca buku. Kalau anda dapat meluangkan sampai lima jam sehari untuk melayari Facebook dan media sosial lain, mengapa tidak ada waktu untuk membaca buku.

Tempoh diancam Covid dan ketika kita dalam PKP ialah masa terbaik untuk meningkatkan jumlah buku yang dibaca. Hal ini terbukti di beberapa negara luar. Kadar pembacaan, termasuk buku audio di China meningkat dari 17 peratus ke 44 peratus, Sepanyol dari 20 peratus ke 42 peratus, Itali dari 16 peratus ke 42 peratus, Brazil dan Filipina masing-masingnya dari 12 peratus ke 27 peratus, dan Amerika Syarikat dari 15 peratus ke 26 peratus.

Purata jumlah buku dibaca rakyat AS setahun ialah 12 judul, berbanding Jepun 11, Korea Selatan 11, dan China lapan judul.

Buku paling laris ketika virus maut itu mengancam ialah The Stand karya Stephen King, buku setebal 1,200 halaman yang mengisahkan ancaman sejenis influenza.

Adakah peratusan pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia juga meningkat dalam tempoh terbabit? Hakikatnya, pandemik ini dan penguncian menyaksikan 35 peratus warga dunia membaca lebih banyak buku, dengan 14 peratus lagi mengakui membaca lebih banyak buku secara signifikan.

Kita perlu menyimpan tekad untuk terus menambahkan jumlah buku yang dibaca setiap bulan dan setiap tahun. Buku membuka dunia anda dan horizon pemikiran anda. Jadi, mengapa tidak membaca dari sekarang?

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru