Tuesday, May 11, 2021

Gajinya dipotong kerana terlalu lama di bilik air

Mesti baca

TAIPEI: Seorang lelaki Taiwan mencetuskan kontroversi di media sosial setelah mengadu gajinya dipotong kerana menghabiskan terlalu banyak masa di bilik air semasa waktu kerja.

Pekerja tersebut dikenali sebagai Mr A, baru-baru ini menggunakan Facebook menyuarakan kekecewaannya selepas sebahagian gaji bulanannya ditahan oleh syarikat tempat dia bekerja, kerana menghabiskan terlalu banyak masa di bilik air pada bulan sebelumnya.

Lelaki itu bagaimanapun mengaku menghabiskan masa sekitar 49.5 jam di dalam tandas, iaitu sekitar dua jam di dalam bilik air sehari.

Biarpun begitu dia tetap menyalahkan majikannya kerana tidak memberitahu gajinya dipotong jika dia menghabiskan masa terlalu lama di dalam tandas.

Selepas menyedari gajinya dipotong dia segera meminta penjelasan dari bahagian sumber manusia, lapor Japan Today.

Pihak pengurusan pejabat mengugut memecatnya jika dia masih membangkitkan isu ini dan ibu bapanya juga tidak mahu dia membuat aduan ke jabatan buruh.

“Sekiranya saya tidak dapat meluangkan masa di bilik air, saya rasa akan membuang air besar di dalam pejabat dan membiarkan semua orang mencium bau busuknya,” katanya mengakhiri komentarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru