Tuesday, May 11, 2021

Dua kluster baharu babitkan institusi pendidikan di Saratok, Kapit

Mesti baca

KUCHING: Dua kluster baharu Covid-19 melibatkan institusi pendidikan di Daerah Saratok dan Kapit diisytiharkan di Sarawak, hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS), ia adalah Kluster Jalan Roban Lama di Saratok dan Kluster Jalan Selirik di Kapit, menjadikan keseluruhan 56 kluster aktif di negeri ini.

“Kluster Jalan Roban Lama melibatkan sebuah kolej tingkatan enam di Jalan Roban Lama, Saratok dengan punca jangkitan dari komuniti yang merebak ke kolej
tersebut melalui kontak rapat dalam kalangan kakitangan dan pelajar.

“Sejumlah 294 individu telah disaring dengan 48 kes disahkan positif, 241 negatif dan lima kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara Kluster Jalan Selirik adalah sebuah sekolah menengah di Jalan Selirik Kapit dan indeks kes adalah pelajar berusia 15 tahun di asrama sekolah dan dikesan melalui saringan individu bergejala pada 12 lalu.

“Kes telah masuk ke asrama sekolah sejak permulaan sesi persekolahan pada 4 April lalu dan mula menunjukkan tanda dan gejala pada 5 April.

“Perebakan jangkitan berlaku melalui aktiviti gotong-royong yang dijalankan pada 4 April di asrama sekolah serta pergaulan rapat dengan punca jangkitan juga dari komuniti dan menjangkiti kakitangan dan pelajar.

“Hasil saringan terhadap 108 individu, sejumlah 23 kes dikesan positif dan 85 individu lagi masih menunggu keputusan makmal,” jelas JPBNS.

Mengulas lanjut, JPBNS memberitahu Daerah Kabong telah bertukar ke status jingga daripada kuning setelah merekodkan 23 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus jingga telah meningkat kepada enam, daerah kuning sebanyak 10 buah, 21 daerah lagi kekal berstatus merah dan hanya tiga daerah zon hijau,” tambahnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru