Tuesday, May 11, 2021

Penyelidikan berkaitan vaksin kemestian strategik bagi Malaysia

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Pelaburan dalam sains serta penyelidikan berkaitan vaksin  adalah suatu kemestian strategik, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, pembangunan vaksin umpamanya, adalah antara kebitaraan penting yang Malaysia mesti punyai. Kita tidak boleh selamanya menjadi negara pengguna atau medan ujian klinikal semata-mata.

“Pandemik adalah ancaman keselamatan baru bukan tradisional yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan benar kita tidak mempunyai kepakaran waktu ini, tetapi sains adalah tentang kolaborasi dan perkongsian dalam ekosistem yang produktif.

“Menjadi sebahagian daripada ekosistem penyelidikan sains termaju rentas disiplin dan geografi ini bukan lagi pilihan buat Malaysia, tetapi suatu kemestian,” katanya lagi.

“Strategi terpadu ini sangat diperlukan kerana pendekatan ‘piecemeal’ dalam menangani persoalan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya adalah tidak selari dengan kepentingan Malaysia,” jelasnya.

Katanya, setelah lebih setahun kita berhadapan dengan pandemik ini, Malaysia telah menanganinya dengan baik walaupun banyak lagi ruang untuk penambahbaikan. Apatah lagi kita tidak pernah berhadapan dengan masalah serumit begini.

“Semua episod ini mewajarkan Malaysia mempunyai strategi klinikal, vaksinasi, mitigasi dan ‘pencegahan’ yang benar-benar terpadu,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru