Tuesday, May 11, 2021

Kantoi bawa 102.10 gram dadah Methampetamine

Mesti baca

KUCHING: Penahanan seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan menghasilkan penemuan dadah jenis Methamphetamine seberat 102.10 gram dianggarkan bernilai RM10,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata suspek yang menunggang Honda EX5 ditahan oleh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 5.15 petang Isnin, ketika membuat rondaan di Jalan Wan Alwi, di sini.

“Pemeriksaan ke atas suspek menjumpai dua paket mengandungi dadah di dalam poket seluarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau menambah hasil siasatan awal, suspek yang berusia dalam lingkungan 39 tahun itu memperolehi dadah menerusi transaksi bank dari seorang pengedar di sekitar Kuching.

“Tindakan selanjutnya sedang dilakukan untuk mengesan pengedar terbabit,” katanya.

Merbin berkata suspek mula terlibat dengan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lepas, dan saringan ujian air kencing turut mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kini direman selama tujuh hari bermula semalam.

Merbin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Secara Rawak

Artikel Terbaru